Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN perlu olah semula idealisme perjuangan - Saifuddin
Diterbitkan:  Nov 28, 2022 6:08 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Perikatan Nasional (PN) Pahang perlu mengolah semula idealisme perjuangan untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang lebih konstruktif.

Pengerusinya, Saifuddin Abdullah berkata perubahan itu perlu dilaksanakan bagi mewujudkan suasana demokrasi Malaysia lebih matang, sederhana dan segar.

"Kini masa untuk PN melakukan dua perkara pokok iaitu menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan progresif di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN).

"Selain itu, perkara kedua pula adalah memperbaiki parti gabungan dan ini penting untuk demokrasi di Malaysia yang memiliki pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, Pahang hari ini.

Ahli parlimen Indera Mahkota itu juga berkata, kedua-dua resepi itu bertujuan menyemarakkan amalan demokrasi yang berasaskan nilai murni.

Amal kesederhanaan

Dia yang juga ahli Majlis Tertinggi Bersatu berpandangan satu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) membabitkan anggota kabinet dan exco bayangan yang diiktiraf perlu diwujudkan.

"Ini termasuklah jawatankuasa pilihan khas mengikut kluster kabinet atau exco dan akta atau enakmen peruntukan kawasan yang saksama antara ahli parlimen dan ADUN," katanya lagi.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa PN perlu mengolah semula idealisme perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan dan 'centrist'.

Katanya, Bersatu perlu memperkukuhkan sayap bersekutu parti itu untuk memastikan ahli bukan Melayu atau Bumiputera dapat membabitkan diri dengan lebih aktif dan bermakna.

"Program latihan dan pendidikan lebih bersistematik perlu diperkenalkan dan dijalankan melalui sayap bersekutu kita supaya mereka dapat memainkan peranan lebih aktif dalam Bersatu," katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat selepas PN secara rasmi menjadi pembangkang di Pahang berikutan ahli parlimen Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar Pahang untuk penggal kedua pagi tadi.

Istiadat mengangkat sumpah diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan kira-kira jam 11 pagi di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Tengku Hassanal dalam titahnya meminta semua ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pahang mengetepikan ideologi politik masing-masing dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

"Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukuplah. Pilihan raya telah tamat dan kerajaan negeri telah dibentuk sekarang masa untuk bekerja.

"Dalam proses mencapai negeri maju, rakyat tidak mahu lagi melihat tuan, puan (wakil rakyat) terus berpolitik, mencari salah sana dan sini.

"Sebaliknya rakyat mahu, wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan untuk membawa perubahan supaya Pahang terus maju ke hadapan," titahnya.

Saifuddin turut memberitahu PN Pahang sedia menjadi pembangkang yang memainkan peranan berkesan untuk memastikan proses semak dan imbang pentadbiran kerajaan Pahang dapat dilakukan.

"Saya yakin semua Adun kita (PN) yang dipilih dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menjalankan amanah mereka dan memberi khidmat terbaik kepada pengundi di kawasan masing-masing.

"Kita juga akan menjadi pembangkang yang progresif dan profesional, bukan pembangkang yang sekadar membangkang semata-mata," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS