Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hadi, jangan derhaka, lapor polis jika DAP promosi Islamofobia'
Diterbitkan:  Nov 28, 2022 1:24 PM
Dikemaskini: 5:24 AM

Dakwaan bahawa DAP mempromosikan Islamofobia dengan memfitnah PAS kepada golongan bukan Islam di negara ini, sewajarnya dilapor kepada polis, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

"Jika benar DAP seperti apa yang dituduh, buat laporan polis.

"Biar pihak berkuasa ambil tindakan," katanya dalam satu ciapan di Twitter, hari ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam satu hantaran di Facebook, hari ini mendakwa demi kepentingan politiknya, DAP yang tidak berakidah dan tidak bermoral mula menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus.

Katnya, hal ini terserlah apabila mereka melakukan fitnah terhadap Islam dengan membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang, khususnya terhadap PAS.

Menurut Hadi, parti itu menjadi sasaran apabila DAP tidak senang melihat kemaraan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi.

Pada PRU15 lalu baru-baru ini, PAS menang 44 kerusi parlimen, manakala DAP memperoleh 40 kerusi parlimen.

Hadi tidak menyatakan punca kemarahan terbarunya terhadap DAP, tetapi ia dipercayai berikutan laporan polis oleh pemimpin Amanah terhadap video berunsur perkauman yang dikeluarkan penyokong PAS semasa dan selepas PRU15.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga adalah ahli Parlimen Lembah Pantai menasihatkan pemimpin PAS itu supaya menghentikan penyebaran dakyah kebencian, dan kepalsuan.

"Masa yang sama, ingat-jngatlah titah nasihat DYMM Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar kita semua rapatkan saf demi masa depan Malaysia tercinta.

"Jangan derhaka, " katanya.

Hadi seterusnya mendakwa DAP 'mengimport' pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam.

Parti itu juga katanya menggunakan 'Melayu bodoh dan Melayu liberal' yang ditolak oleh Islam sebagai jurucakapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS