ULASAN l Jangan tengok Daim Zainuddin seorang saja sebagai orang luar dan teknoktrat yang dilantik menjadi menteri kewangan. Orang masih ingat Daim kerana dia berjaya. Setelah lebih 20 tahun bersara, namanya masih dikaitkan dengan perkembangan politik negara.
Pemilihan menteri kewangan adalah sangat penting. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri tidak boleh ambil jawatan itu kerana bertentangan dengan dasar PH bahawa perdana menteri tidak boleh pegang jawatan kedua.
Seelok-eloknya calon menteri kewangan biarlah di kalangan ahli Parlimen. Tolak sebelah calon dari luar kerana pengalaman kita dengan ramai menteri kewangan dari sektor swasta adalah mereka yang tidak "perform" malah sangat hambar dan membawa padah kepada negara.
Kalau hendak pertimbangankan juga, wajib disiasat dan dihalusi latar belakang serta prestasi mereka, khususnya yang pernah menjadi menteri kewangan kedua dalam kerajaan-kerajaan dahulu.
Wajib tengok rekod Suruhanjaya Sekuriti sama mereka terlibat dengan jenayah perdagangan macam "insider trading", mengubah wang haram dan sebagainya.
Ini adalah kerana banyak penyelewengan dan manipulasi yang melibatkan berbilion ringgit duit rakyat jelata telah mereka lakukan seperti dalam pembelian saham Eagle High Plantations di Indonesia oleh Felda di mana ia menderita kerugian modal lebih RM2 bilion atau boros menggunakan duit GLIC/GLC mendirikan pencakar langit.
Kita sudah ada pengalaman dengan menteri kewangan dari sektor korporat macam Nor Mohamed Yakcop zaman Dr Mahathir Mohamad yang menyusun semula aset korporat milik Bumiputera untuk diberikan kepada tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berikutan krisis kewangan Asia 1997-98. Sampai hari ini beliau masih berpengaruh ke atas banyak eksekutif GLC/GLIC.
Pada zaman peralihan Dr Mahathir - Abdullah Ahmad Badawi kita ada Almarhum Jamaluddin Jarjis yang terbongkar kekayaan luar biasanya dalam saman pembahagian harta oleh ibunya sendiri. Dia menjadi menteri kewangan kedua dan selepas itu menteri sains, teknologi dan
inovasi.
Zaman Abdullah juga muncul "wunderkinder" Idris Jala yang menjual harta Malaysia Airlines dalam skim "asset unbundling". Dia asalnya eksekutif syarikat Shell yang mengurus kilang Middle Distillate Synthesis (MDS) di Sarawak. Tengok apa terjadi kepada MAS selepas habis asetnya dijual dan dipaksa bergabung dengan Air Asia?
Zaman Najib Razak ada Abdul Wahid Omar dan Johari Abdul Ghani. Abdul Wajib diingati sebagai, "famously" berkata, model perniagaan 1MDB tidak lestari setelah skandal bilion ringgit melibatkan Najib itu meledak. Kemudian sebagai Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dia terlibat dengan pembinaan Menara 118 yang dianggarkan menelan belanja RM6 bilion. Apa pulangan yang boleh diharapkan untuk PNB dan pelabur skim amanah saham kelolaan PNB tidak jelas. Sejak April 2020 dia menjadi Pengerusi Bursa Malaysia.
Johari menjadi menteri kewangan kedua pada ketika pendedahan skandal 1MDB memuncak dan Najib menolong sahabat karibnya dari Indonesia, Peter Sondakh, dengan mendesak Felda membeli ladang Eagle High Plantations Tbk. Akibat urus niaga itu Felda rugi (atas kertas) RM2 bilion.
Kemudian masa pemerintahan kerajaan tebuk atap Muhyiddin Yasin dan Ismail Sabri Yaakob kita ada Tengku Zafrul Abdul Aziz. Rekod pencapaian atau kegagalan beliau ada untuk semua melihatnya.
Akhir kalam, mohon Anwar dan orang kepercayaannya yang sedang mengatur pembentukan kabinet agar tidak melantik orang korporat yang rekodnya mencurigakan. Kalau tidak tahu atau kelabu, tanyalah kepada yang tahu.
Parti-parti kerajaan perpaduan pula tolonglah calonkan ahli Parlimen yang berpengetahuan, bebas jenayah dan berintegriti. Kalau Anwar kata lantikan kabinet bukan ganjaran, parti-parti kerajaan perpaduan janganlah pula jadikannya bahan ugutan.
A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media perdana menteri.
Artikel di atas asalnya disiarkan di media sosial. Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.