Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dengan memfitnah parti Islam itu.
"Demi kepentingan politiknya, DAP yang tidak berakidah dan tidak bermoral mula menunjukkan belangnya secara terbuka dan rakus.
“Hal ini terserlah apabila mereka melakukan fitnah terhadap Islam dengan membaling batu di tengah khalayak pada waktu siang hari yang terang, khususnya terhadap Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
"PAS menjadi sasarannya apabila melihat kemaraan PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga berjaya mencapai jumlah kerusi tertinggi dalam kalangan semua parti secara berasingan termasuk DAP dan semua parti yang menjadi alat DAP dalam PH," tulis Hadi di Facebook hari ini.
Untuk rekod, PAS menang 44 kerusi parlimen, manakala DAP memperoleh 40 kerusi parlimen pada PRU baru-baru ini.
Hadi tidak menyatakan punca kemarahan terbarunya terhadap DAP, tetapi ia dipercayai berikutan laporan polis oleh pemimpin Amanah terhadap video berunsur perkauman yang dikeluarkan penyokong PAS semasa dan selepas PRU15.
Import pandangan orientalis, media Barat
Hadi seterusnya mendakwa DAP 'mengimport' pandangan para orientalis dan media Barat yang paling bermusuh serta berbohong terhadap Islam.
Parti itu juga katanya menggunakan 'Melayu bodoh dan Melayu liberal' yang ditolak oleh Islam sebagai jurucakapnya.
"Apakah hak DAP untuk menegur kerajaan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang mengharamkan arak kepada penganut Islam sahaja dan diberikan kebebasan kepada bukan Islam? Adakah tindakan ini melampau?
"Sebenarnya, DAP yang melampau, walaupun mereka cuba menipu dengan menampilkan ahli, calon dan pemimpin daripada wajah Melayu Islam.
“Namun, ia sekali-kali tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam, laksana tidak boleh menghalalkan daging babi walaupun tukang masaknya berwajah Islam, berkopiah dan berserban.