Dengan kerajaan pusat akhirnya ditubuhkan lima hari selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15, Padang Serai akan menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) berikutan kematian salah seorang calon dua hari sebelum hari mengundi pada 19 Nov.
Calon penyandang Pakatan Harapan (PH) untuk Padang Serai, M Karupaiya, 69, tumbang semasa kempen dan meninggal dunia pada hari berikutnya pada 15 Nov.
Ini menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa menangguhkan pengundian bagi kawasan itu kepada 7 Dis.
Walaupun bahang PRU ke-15 mula kelihatan reda, semangat pengundi Padang Serai tetap tinggi untuk keluar membuang undi.
Sentimen di lapangan menunjukkan ramai yang sudah membuat keputusan mengenai siapa yang akan mereka undi, atau sekurang-kurangnya kriteria yang akan mereka pertimbangkan semasa mengundi pada PRK ini.
Mohd Hakim Zailani, 30, penjual pakaian di pasar pagi Padang Serai berkata, dia, adik beradik dan ibu bapanya akan menyokong Muhyiddin Yassin memandangkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu banyak memberi bantuan kebajikan kepada rakyat ketika menjadi perdana menteri semasa pandemik Covid-19.
“Beliau mempunyai belas kasihan untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik. Membantu orang miskin jauh lebih penting daripada membazir dana dengan memberi atau memberi subsidi kepada orang kaya.
"Ia satu pembaziran semata-mata dan Muhyiddin membantu orang miskin dan wang kerajaan tidak pernah pergi kepada orang kaya.
“Muhyiddin dan PN telah membuktikan mereka mentadbir negara dengan baik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Mohd Hakim dari Lunas, Kulim ketika ditemui Malaysiakini.
Seorang pemilik kedai runcit berusia 63 tahun di bandar lama Lunas, yang hanya dikenali sebagai Chee berkata dia akan keluar membuang undi pada 7 Dis dan menyokong kerajaan baru.
"Saya akan mengundi untuk menyokong kerajaan baru kerana saya mahu melihat kerajaan yang stabil dengan ekonomi yang kukuh dan Malaysia yang lebih baik untuk semua," katanya.
Perbaiki kemudahan awam
Bagi Umi, 46, yang merupakan pemilik gerai makan di Jalan Lunas, dia berkata akan menyokong calon yang boleh membawa pembangunan ke Padang Serai memandangkan kawasan itu kekurangan banyak kemudahan awam.
Dia berkata pengangkutan awam yang lebih baik adalah penting untuk penduduk di sini serta kompleks sukan yang akan menampung golongan belia di kawasan itu.
“Satu perkara penting ialah projek tebatan banjir di Padang Serai kerana banyak kawasan dilimpahi air ketika banjir, jadi projek tebatan banjir akan mengurangkan beban penduduk pada musim hujan,” katanya.
Sementara itu, pengundi kali pertama P Harindran, 21, berkata dia teruja untuk mengundi tetapi akan patuh kepada ibu bapanya dari segi calain yang akan dia pilih.
“Ibu bapa saya menyuruh saya mengundi calon tertentu dan saya lebih suka mengikut panduan mereka dalam mengundi kerana pengetahuan mereka yang luas tentang politik dan tadbir urus," katanya.
Bagaimanapun, tidak semua orang teruja dengan idea untuk keluar mengundi dalam PRK itu.
Mohamad Hashim, 60, yang bekerja sendiri dari Taman Mahsuri, Padang Serai, berkata dia percaya orang Melayu tidak akan keluar mengundi kerana malas untuk keluar pada hari pengundian.
“Jika majoriti orang Melayu, tidak keluar rumah mereka untuk mengundi, maka ia adalah satu kelebihan kepada PH kerana orang Cina dan India, sama ada hujan atau cerah akan keluar mengundi dan saya percaya PH akan mempunyai satu kelebihan, tambahan pula PH telah pun membentuk kerajaan perpaduan.
“Bagaimanapun, Padang Serai adalah kubu kuat PH untuk dua pilihan raya lalu,” tambahnya.
Amran Amir, 47, dari Taman Lagenda juga di Padang Serai, berkata dia tidak berminat untuk mengundi kerana tidak berminat dalam politik kerana tidak pernah membaca atau menonton berita politik di kaca TV.
Dia berkata dia lebih gembira menonton bola sepak tetapi akan menyokong mana-mana kerajaan yang dipilih yang akan membawa pembangunan kepada negara.
PRK bagi kerusi parlimen Padang Serai akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Mohamad Sofee Razak (PH), C Sivarraajh (BN), Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).
Sofee ialah setiausaha PKR Kedah dan seorang peguam. Sivarraajh ialah naib presiden MIC dan seorang ahli perniagaan.
Azman kini adalah Adun Lunas dan anggota exco kerajaan Kedah. Azman berpaling tadah daripada PKR pada 2020 dan menyertai Bersatu.
Bakri Hashim dari Warisan menarik diri daripada bertanding pada hari pengundian.