Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Walau tak ramai, tak bermakna perjuangan kita salah'
Diterbitkan:  Nov 26, 2022 4:01 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Susulan prestasi buruk Pejuang dalam PRU15, pengerusinya Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa ia tidak bermakna parti itu membawa perjuangan yang salah.

Perkara itu disampaikan dalam surat terbuka bagi menyuarakan penghargaan kepada 4,566 pengundi di Langkawi yang mengundinya pada 19 November lalu.

"Saya tidak satu siapa yang mengundi saya...Jadi saya tidak ada jalan lain untuk ucap berbanyak terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana dengan berani memberi undi kepada saya melainkan melalui surat terbuka ini.

"Walaupun saya mungkin tidak kenal setiap seorang tetapi saya merasa sangat berbesar hati kerana semangat, keberanian dan penolakan rasuah oleh semua untuk memberi undi kepada saya yang mewakili Pejuang/Gerakan Tanah Air (GTA).

"Yakinlah bahawa walaupun kita tidak ramai, ia tidak bermakna perjuangan kita tidak benar. Malah, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadang kala dipinggir," katanya dalam surat itu yang dimuat naik di Twitter.

Jumlah undi yang diraih bekas perdana menteri itu bermakna dia hilang deposit dalam PRU lalu.

Selain itu, kesemua 25 calon Pejuang, termasuk anaknya Mukhriz, turut tewas. Mukhriz malah juga hilang deposit di kerusi Parlimen Jerlun.

Mahathir berkata lagi, kekalahan itu tidak boleh mematahkan semangat Pejuang untuk meneruskan perjuangannya.

"Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak merasa terlalu sedih dan hilang semangat untuk meneruskan perjuangan kita untuk bangsa kita, agama kita dan juga tanah air kita," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS