Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs gesa inisiatif diumum k'jaan terdahulu dikekalkan
Diterbitkan:  Nov 26, 2022 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengekalkan inisiatif kepada penjawat awam yang telah diumumkan pentadbiran sebelum ini, dalam belanjawan mini yang akan dibentangkan.

Antara inisiatif tersebut adalah peningkatan RM100 untuk kenaikan gaji tahunan (KGT), bantuan khas RM700, bantuan khas RM350 untuk pesara dan bantuan khas Hari Raya sebanyak RM600.

Inisiatif tersebut diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 oleh bekas menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 November lalu.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata inisiatif tersebut perlu diteruskan walaupun pentadbiran telah berubah.

"Kami tidak mahu perkara yang sama terjadi pada 2018 apabila inisiatif yang dijanjikan oleh kerajaan tidak ditunaikan apabila berlaku peralihan kerajaan pada PRU14," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, selaku majikan, kerajaan persekutuan tidak boleh membatalkan inisiatif yang telah diumumkan dengan mengambil kira pengorbanan penjawat awam sebagai jentera pentadbiran negara.

Kerajaan akan membentangkan belanjawan mini di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini bagi meluluskan belanja pengurusan kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Belanjawan penuh dijangka akan dibentangkan beberapa minggu kemudian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS