Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sah jadi pembangkang, tapi mahu rintis kerjasama lain
Diterbitkan:  Nov 25, 2022 4:36 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Selepas menyatakan keputusan enggan menyertai kerajaan perpaduan Perikatan Nasional (PN) petang ini menyatakan kesanggupan mereka bekerjasama dengan pendekatan lain.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata PN bagaimanapun terbuka untuk merintis kerjasama dalam bentuk lain dengan kerajaan.

Dalam kenyataan terbarunya ahli parlimen Pagoh itu berkata PN memang menghargai tawaran dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membawa mereka menyertai kerajaan.

Namun, katanya, atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak-imbang yang berkesan di parlimen PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan.

"PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.

Tambah bekas perdana menteri itu lagi PN juga akan memastikan perjalanan urus tadbir yang baik serta berintegriti selaras dengan dasar mereka iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk-bentuk kerjasama yang lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan kerajaan dan pembangkang," katanya.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa PN bersedia mencari persefahaman dengan Putrajaya melalui kaedah perjanjian berbentuk persefahaman yang pernah dimeterai Pakatan Harapan (PH) bersama perdana menteri terdahulu, Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum persefahaman tersebut ditandatangani PH dan Ismail Sabri sebagai langkah memberikan kestabilan kepada kerajaan pusat selepas Malaysia menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran perdana menteri selepas PRU ke-14.

Satu lagi cara kerjasama yang biasa dicapai di antara blok kerajaan dan pembangkang dalam negara demokrasi ialah perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA).

Semalam Muhyiddin masih lagi bertegas untuk mencabar keabsahan Anwar selepas pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Muhyiddin yang sebelum ini mengumumkan PN memiliki sokongan majoriti ahli parlimen di sebalik kedudukan parti itu menjadi blok kedua terbesar selepas PH juga mahu Anwar membuktikan sokongan yang diperolehinya.

Anwar kemudian mengumumkan sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Dis ini dengan agenda penting selepas majlis angkat sumpah ialah usul undi percaya kepadanya.

Menurut Anwar usul itu akan dibawa sendiri oleh kerajaan.

Isu kestabilan dalam kerajaan menjadi antara aspek utama yang ditekankan Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan kerajaan baru selepas PRU pada 19 Nov lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS