Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Saya adalah antara orang yang mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan saya melihat beliau mempunyai kewibawaan ini berbanding dengan pilihan lain yang kita ada diatas meja.

Saya juga berpendirian bahawa PH sebagai parti yang menang paling banyak kerusi harus diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan dan juga di negeri Perak, PN sebagai parti yang menang kerusi terbanyak juga diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan negeri Perak.

Namun demikian, cara PH cuba menjustifikasi kerjasama dengan BN amat menjijikkan dan merupakan satu proses pembodohan rakyat Malaysia yang keterlaluan.

Tiba-tiba Naratif tentang BN bertukar wajah 360 darjah dan kita harus menerimanya?

Sebelum ini PSM ingin mengadakan Pakatan Pilihanraya dengan Pakatan Harapan (PH) berdasarkan ia adalah gabungan terbaik dan paling progresif berbanding dengan tiga gabungan yang lain iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan nasional (PN) dan juga Gerakan Tanah Air (GTA).

Walaupun kerjasamana pakatan pilihanraya dengan PH tidak berjaya, namun PSM mengambil langkah untuk tidak bertanding di kerusi sandaran PH dan mengambil keputusan berdiri di kawasan kubu kuat BN iaitu di Parlimen Rembau dan DUN Ayer Kuning di Perak.

Kempen kami pula mendesak rakyat untuk memilih satu alternatif yang ingkulusif dan meletakkan kepentingan rakyat marhaen ke depan.

Pada 19hb. November 2022, kami dan ramai lagi dikejutkan dengan kemenangan besar PN dan juga parti PAS yang berjaya meningkatkan jumlah kerusi daripada 18 kepada 49.

Ini adalah satu keputusan yang luar biasa. Walaupun keputusan ini akan mengerunkan ramai orang terutamanya mereka dari pantai barat Semenanjung Malaysia dan juga golongan yang bukan Melayu tetapi nampaknya dengan jelas bahawa masyarakat Melayu telah menolak BN dan PH dan mereka memilih PN sebagai parti yang boleh dipercayai dan mewakili kepentingan mereka.

Walaupun keputusan ini bukan sesuatu untuk selera politik saya tetapi kita harus menerima mandat rakyat dan belajar daripada itu.

Ada yang memberikan komen bahwa pengundi adalah bodoh dan ada pula yang mengatakan bahawa pengundi 18 terlalu muda dan terpengaruh dengan tiktok PN.

Namun kita harus secara matang menerima mandat rakyat dan bukan memaparkan keangkuhan kita

Kemungkinan besar rakyat majoriti Melayu menolak BN kerana ia adalah parti korup dan diketuai oleh kleptokrat. Namun mereka juga melihat parti PN sebagai parti yang dapat mewakili kepentingan mereka. Maka PH kena buat bedah siasat untuk membincangkan mengapa rakyat tidak memilih PH.

Namun apa yang tidak kena adalah apabila PH cuba menyajikan kita satu naratif baru bahawa tiba-tiba PN adalah ancaman utama manakala UMNO-BN bukannya masalah utama.

Lagu "Hoi hoi ya hoi, siapa sokong penyamun" yang menjadi lagu tema kempen PKR dan PH tidak lagi menjadi isu.

Pandangan Rafizi bahawa PH kena membina kekuatan sendiri tidak lagi relevan.

Ini adalah cara yang sama mereka gunakan pada satu masa dulu untuk menghalalkan Tun Dr Mahathir.

Walaupun pada masa itu, kami menegur PH, mereka mengatakan Tun Mahathir sudahpun reform. Kemudiannya apabila kerajaan 22 bulan PH kecundang, mereka menyalahkan Mahathir dimana kesemua kesalahan adalah kerana salah Mahahtir.

Hari ini pula tanpa segan malu, mereka berpelukan dengan BN dan memaksa rakyat Malaysia menerima satu lagi naratif bahawa musuh utama kita adalah PAS dan PN.

Tiba-tiba semua kesalahan Zahid dan BN selama ini seperti disucikan atau tidak lagi menjadi isu. Kini mulalah naratif bahawa PH dan BN adalah kombinasi terbaik. Ada juga pemimpin DAP yang menyanjung Kerajaan campuran PH dan DAP di Perak sebagai demi negara dan rakyat. Semuanya demi kuasa dan kedudukan .

Kami faham bahawa dalam sandirawara ini, agenda utamanya hanyalah satu iaitu PH mahu berkuasa dan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke 10. Teori "The end justify the means". (matlamat akhir menjustifikasi cara).

Namun demikian, dalam proses kita berbuat demikian, undi rakyat biasa langsung tidak dihormati. Kita mengajar ramai rakyat turut melibatkan diri dalam proses pilihanraya tetapi setelah rakyat mengundi, keputusan utama selebihnya diambil dalam hotel-hotel.

Kali ini di Hotel Seri Pacific. Langsung tidak ada pendidikan atau keikhlasan untuk menerangkan kepada rakyat dan juga ahli-ahli parti mengapa PH hendak bekerjasama. Sdr Rafizi yang setiap hari membuat pendidikan kepada rakyat melalui pelbagai media nampaknya sunyi dan sepi.

Proses “Kita Boleh” memberikan naratif sesuka hati hanya akan menyebabkan rakyat akan muak dengan proses demokrasi dan pilihanraya umum. Rakyat biasa sebenarnya hanya menjadi penghias demokrasi dan langsung tiada kuasa menentukan apa-apa.

PH mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka mengambil langkah bekerjsama dengan BN dan apakah bentuk kerajaan yang akan dibentuk nanti. Proses memperbodohkan rakyat kena berhenti.

Sekurang-kurangnya PH seharusnya mempunyai keberanian membentuk kerajaan minoriti atau sekurang-kurangnya menjadi blok pembangkang tegar dan bermaruah. Bertenggek kepada BN hanya memberikan kredit kepada mereka dan menyucikan mereka dan pada masa yang sama melemahkan agenda reform.


S ARUTCHELVAN adalah timbalan pengerusi PSM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian portal berita ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS