Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GPS biarkan PN selesai masalah sesama sendiri dulu - Tiong
Diterbitkan:  Nov 21, 2022 7:51 PM
Dikemaskini: 11:51 AM

Nampaknya parti komponen GPS Sarawak - yang telah mengisytiharkan sokongan untuk membentuk kerajaan bersama PN dan BN semalam - membuka pilihan terhadap kemungkinan.

Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Tiong King Sing dipetik The Star berkata GPS - yang mempunyai 22 kerusi - akan menunggu penjajaran politik PN diselesaikan sebelum gabungan itu membuat keputusan.

“Mereka perlu mencari jalan sendiri untuk menyelesaikannya, kenapa kita mahu terlibat?

“Sudah tentu untuk GPS kita akan berbincang sesama sendiri dan premier Sarawak (Abang Johari Openg) akan membuat keputusan muktamad,” katanya.

Tiong juga berkata masih tidak jelas siapa yang mempunyai bilangan sokongan ahli parlimen mencukupi untuk menjadi perdana menteri atau membentuk kerajaan seterusnya.

"Katakanlah Barisan Nasional tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional, Perikatan tidak akan dapat membentuk kerajaan walaupun dengan sokongan GPS.

"Mereka ada masalah, kita biarkan mereka selesaikan dulu sesama sendiri," jelasnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, China Press melaporkan bahawa Abang Johari enggan mengulas keadaan politik semasa apabila meninggalkan Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Sarawak United People’s Party (SUPP) dan PDP.

Gabungan Sarawak menang 22 kerusi pada PRU15, dengan PBB menang 14, PRS (5), SUPP (2) dan PDP (1).

Sementara itu, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking yang tewas di Penampang pada Sabtu, enggan mendedahkan gabungan mana yang akan disokong parti itu atau jika ada gabungan menghubungi Warisan.

Bagaimanapun, dia berulang kali menegaskan bahawa selain memastikan hak Malaysia Timur ditegakkan, Warisan mahukan sebuah negara yang "bersatu".

“Negara dikongsi oleh semua orang, bukan hanya satu kaum atau agama...

“Menyembuhkan negara adalah penting,” katanya kepada Malaysiakini melalui telefon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS