Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gabungan kerajaan negeri BN, PH di Pahang - sumber

BN Pahang hampir pasti mengekalkan kerajaan negeri apabila lapan ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan untuk menubuhkan kerajaan negeri. 

Menurut sumber DAP, perkara itu sudah diputuskan pimpinan tertinggi parti dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam terdekat. 

Dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), BN memiliki 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala PH mempunyai lapan kerusi. 

Enam daripadanya adalah DAP manakala dua lagi melalui wakil PKR. 

Perikatan Nasional (PN) pula memiliki 17 kerusi DUN. 

Selepas keputusan PRU15 Sabtu lalu, kerajaan Pahang 'tergantung' kerana tidak ada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. 

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dan satu lagi kerusi iaitu DUN Tioman tidak dipertandingkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi Sabtu-hari mengundi, ketika menerima rawatan di Hospital Rompin, dipercayai akibat serangan jantung. 

Pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditetapkan pada 7 Disember ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Sementara itu, Adun Triang, Leong Yu Man ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan dia belum menerima maklumat lengkap berkaitan persetujuan untuk PH dan BN Pahang bekerjasama. 

"Setakat ini saya belum pasti mengenai perkara ini, lebih baik rujuk dengan pucuk pimpinan kami," katanya. 

Dua wakil PKR ketika dihubungi juga memaklumkan mereka masih menunggu keputusan muktamad oleh pucuk pimpinan parti. 

ADUN Semambu Chan Chun Kuang berkata, dia hanya menunggu maklumat dan arahan daripada pimpinan. 

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Choon Siang pula memberitahu dia berharap pucuk pimpinan tertinggi akan membuat keputusan terbaik untuk semua pihak. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS