Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua penerangan Umno letak jawatan, gesa Zahid turut berundur
Diterbitkan:  Nov 20, 2022 1:15 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Naib Presiden Umno, Shahril Hamdan antara pemimpin terbaru dalam parti itu yang menyertai gesaan agar presidennya, yang juga pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan susulan kekalahan teruk gabungan itu pada pilihan raya umum semalam.

Shahril berkata, tanpa rasa hilang hormat kepada Zahid, presiden Umno itu perlu mengambil tanggungjawab dengan kekalahan tersebut.

Terdahulu, gesaan sama dibuat Menteri Besar Johor, Onn Hafiz supaya Zahid melepaskan jawatannya selepas berlaku tsunami politik dalam kalangan orang Melayu yang menyaksikan BN tewas lebih 130 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia.

"Saya sependapat dengan YAB Menteri Besar Johor. Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau (Zahid) sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu presiden Umno dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini - berundur secara terhormat.

"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahril yang tewas di kerusi parlimen Alor Gajah turut mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua penerangan Umno.

"Atas semangat 'collective responsibility' itu, saya juga meletakkan jawatan selaku ketua penerangan Umno Malaysia. Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya," katanya.

BN di bawah kepimpinan Ahmad Zahid mencipta sejarah paling buruk dalam PRU apabila gabungan itu hanya meraih kemenangan di 30 kerusi parlimen daripada 221 kerusi parlimen yang dipertandingkan semalam.

PH memperoleh bilangan kerusi parlimen paling banyak iaitu 82 kerusi, diikuti oleh PH sebanyak 73 kerusi parlimen.

Keputusan PRU semalam menyaksikan tidak ada mana-mana gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Shahril berkata Umno perlu mempertimbangkan langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka majoriti mudah 112 kerusi parlimen.

"Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh majlis kerja tertinggi (MKT) bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS