Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
58 peratus keluar mengundi setakat 2 petang
Diterbitkan:  Nov 19, 2022 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Kira-kira 58 peratus pengundi telah mengundi setakat 2 petang hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ini disebut dalam kemas kini jumlah keluar mengundi setiap jam yang diberikan oleh suruhanjaya itu di Twitter.

Daftar pemilih yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 pemilih, terdiri daripada 20,853,681 pengundi biasa, 146,737 anggota tentera dan pasangan mereka, 118,794 anggota polis, termasuk daripada Pasukan Gerakan Am, dan pasangan mereka dan 2,741 pemilih tidak hadir.

Ini bermakna 12.2 juta rakyat Malaysia telah pun mengundi, dengan baki empat jam lagi apabila pengundian tamat pada pukul 6 petang.

Pada pilihan raya umum lalu pada 2018, seramai 12.2 juta orang mengundi daripada 14.9 pengundi berdaftar (82.3 peratus keluar mengundi).

Bagaimanapun, terdapat 5.8 juta pengundi baru pada PRU15 ini, sebahagian besarnya disebabkan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun dan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Berdasarkan tinjauan Bernama, proses pengundian berjalan lancar di seluruh negara dengan pengundi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPR termasuk tidak membawa telefon bimbit mereka ke pusat mengundi.

SPR dan anggota keselamatan turut bersedia membantu pengundi di pusat mengundi dengan pelbagai kemudahan disediakan bagi memastikan pengundian berjalan lancar, termasuk kerusi roda yang digunakan anggota SPR bagi memudahkan pergerakan warga emas dan orang kurang upaya.

SPR juga menyediakan perkhidmatan ulang-alik di pusat mengundi terpilih, terutama di tempat pengundi terpaksa meletakkan kenderaan mereka jauh.

Pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) secara rasmi bermula pada pukul 7.30 pagi di Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala di Semenanjung Malaysia pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi.

Turut diadakan serentak ialah pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Bugaya di Sabah, yang ditangguhkan berikutan pengisytiharan darurat bagi membendung penularan Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS