Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pakatan Harapan (PH) Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada PKR untuk menentukan calon bagi Parlimen Padang Serai.

Pengerusinya Mahfuz Omar berkata, ia susulan kerusi itu adalah milik PKR dan PH negeri tidak akan campur tangan.

"Kita serahkan kepada PKR untuk tentukan siapa calon kerana itu kerusi mereka.

"Selepas itu PKR akan angkat nama calon kepada majlis presiden PH untuk tindakan lanjut," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Pokok Sena, Kedah, malam tadi.

Pemilihan bagi kerusi parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Disember 2022, berikutan kematian salah seorang calonnya, mendiang Karupaiya Mutusami (gambar, atas) yang mewakili PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan hari penamaan calon adalah pada 24 November, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 3 Disember.

Berikutan itu, pengundian di Padang Serai tidak akan diadakan pada 19 November (hari ini) seperti mana di kerusi-kerusi parlimen lain di seluruh negara.

Kerusi Parlimen Padang Serai sepatutnya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Karupaiya Mutusami, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Sivaraj Chandran (BN), Azman Nasrudin (PN),Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Ananda AK.

Bagaimanapun, Karupaiya rebah semasa kempen pada Isnin (14 Nov) dan meninggal dunia di Hospital Kulim pada hari berikutnya. Ahli pernigaaan yang juga bekas pegawai tentera itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 69 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS