Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki ditahan hari ini kerana disyaki mendera isterinya di sebuah kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, susulan video yang tular menerusi media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki berusia 58 tahun itu ditahan di sekitar Setapak di sini pada 4.35 pagi tadi.

Menurutnya hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 45 tahun telah dipukul oleh suspek menggunakan tangan dan kaki menyebabkan kecederaan pada tubuh badannya.

“Mangsa juga ditarik rambut dan ditendang di kepala oleh suspek menyebabkan dia melarikan diri dari rumah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di dalam rumah mangsa di kondominium berkenaan dengan semasa kejadian, terdapat saksi yang melihat iaitu pembantu rumah, pemandu peribadi suspek dan anak perempuan mangsa yang berusia tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat dipukul di bahagian kedua belah mata, kepala, kaki dan belakang badan.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan pemerasan dan direman hingga 22 Nov ini untuk siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Katanya orang awam yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-515 6933 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Baru-baru ini, video berdurasi satu minit tujuh saat yang tular menerus aplikasi TikTok itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung wanita berkenaan sebelum mangsa diheret dan ditendang di bahagian muka serta badan berkali-kali.

Dalam video itu, seorang kanak-kanak perempuan juga kelihatan menangis sambil mengangkat tangan seolah-oleh memohon simpati kepada si perakam video agar membantu ibunya.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS