Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas Putra, ahli Warisan pula sokong Che Lah di Tumpat

Sehari sebelum menjelang hari pengundi, kira-kira 200 ahli parti Warisan di Tumpat menyatakan sokongan mereka kepada calon BN kawasan itu, Che Abdullah Mat Nawi.

Antara mereka termasuklah ahli jawatankuasanya Warisan di bahagian berkenaan.

Menurut salah seorang wakil mereka, Muhammad Alimi Mat @ Muhamad keputusan untuk keluar dari Warisan diambil kerana masalah dalaman serta hilang keyakinan terhadap calon parti itu di Tumpat, Khairul Azuan Kamarrudin.

"Perasaan tidak yakin itu sudah timbul sejak beberapa hari selepas penamaan calon lagi namun kami masih memberi peluang.

"Kami mengadakan perbincangan dengannya (Khairul Azuan) namun gagal mencapai kata sepakat sebelum mengambil keputusan untuk memberi sokongan kepada calon BN.

Che Abdullah (tengah) bersama bekas ahli Warisan Tumpat

"Kami memilih untuk keluar parti dan menyokong Che Lah (Che Abdullah) kerana melihat kredibilitinya sebagai pemimpin yang baik dan sentiasa turun padang sepanjang tempoh berkempen," katanya ketika sidang media di Tumpat, hari ini.

Semalam Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Kelantan, Siti Masitah Nasir, bersama 100 ahli parti itu mengumumkan sokongan mereka kepada Che Abdullah.

Keputusan keluar parti itu, katanya, dibuat kerana mereka tertarik dengan kecaknaan calon bekas ahli parlimen PAS berkenaan.

Parlimen Tumpat menampilkan tiga lagi calon untuk dipilih esok. Selain Che Abdullah dan Khairul Azuan, turut bersaing ialah Mumtaz Md Nawi (PN), Che Mohd Asemari Che Ali (Putra) dan Wan Mohd Johari Wan Omar (PH).

Sementara itu, Che Abdullah berkata, tindakan ahli Warisan terbabit meninggalkan parti mereka dan menyokongnya membuktikan usaha penyatuan ummah yang dibawa selama ini berjaya.

"Sepanjang dua hari berturut-turut, BN Tumpat menerima kemasukan penyokong baru.

"Alhamdulillah seruan penyatuan ummah mendapat sambutan dan saya bersyukur kerana ia bermula di Tumpat dan saya mohon agar beri peluang kepada saya untuk terus memimpin parlimen ini untuk meneruskan perjuangan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS