Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Tok Guru bawa gelombang baru di Pasir Salak

Suatu ketika dulu Pasir Salak merupakan kubu kuat BN yang dirasakan amat sukar untuk digugat. Kemudian datanglah PRU ke-15 yang menyaksikan salah seorang anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ke situ.

Dibawa ke situ dari jauh, Nik Omar Nik Abdul Aziz adalah percaturan Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi parlimen di Perak.

Kerusi parlimen Pasir Salak diwujudkan pada 1986 dan ketika itu ia menjadi landasan buat Megat Junid Megat Ayob menyinar di peringkat kebangsaan.

Selama tiga penggal dia menjadi wakil rakyat Pasir Salak dan sempat diberikan pelbagai jawatan penting oleh perdana menteri. Bagaimanapun Megat Junid digantikan dengan bekas menteri besar Perak, Ramli Ngah Talib, di situ pada 1999 hingga 2008.

Pada PRU ke-12 (2008), BN mengekalkan cengkamannya di Pasir Salak melalui Tajuddin Abdul Rahman dan berterusan sehingga parlimen dibubarkan pada 10 Okt lalu.

Kali ini BN tidak memberikan ruang lagi kepada Tajuddin untuk bertahan di Pasir Salak. Sebaliknya bekas naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun - atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro - dipilih menggantikan Tajuddin.

Ketika ini ada dua kawasan dewan undangan negeri yang diletakkan di bawah Pasir Salak iaitu Kampung Gajah dan Sungai Manik. PKR menurunkan calonnnya mewakili PH untuk Sungai Manik, manakala Amanah diberikan tugas di Kampung Gajah.

Bercakap kepada Malaysiakini, calon PH untuk DUN Kampung Gajah, Mohd Syamsul Alauddin, berkata aura 'gelombang Tok Guru' yang dibawa Nik Omar semakin dirasai di Pasir Salak.

"Sokongan rakyat Pasir Salak kepada PH semakin bertambah sekarang, lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak Tok Guru Nik Abdul Aziz itu.

"Dia disambut baik oleh pengundi di sini termasuk dalam kalangan ahli PAS dan Umno sendiri.

"Saya menjangkakan PH mampu membuat kejutan di Pasir Salak esok," katanya.

Bergerak dalam satu pasukan

Menurut Mohd Syamsul lagi, peluang untuk Nik Omar dan PH di Pasir Salak tambah terbuka dengan adanya rasa tidak puas hati ahli PAS kepada kerjasama pimpinan mereka di peringkat pusat.

Pada masa sama katanya wujud gerakan sabotaj daripada Umno bahagian itu kerana tidak berpuas hati apabila Azwan Bro yang menjadi pilihan parti.

"Sejak penamaan calon saya tidak nampak Tajuddin turun berkepen bersama Azwan. Dia cuma fokus di DUN Kampung Gajah untuk membantu penyandangnya Wan Norashikin Wan Noordin.

"PAS pula kali ini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang menyokong presiden mereka (Abdul Hadi Awang) dan yang cenderung serta teringat kepada pendekatan Nik Abdul Aziz

"Justeru dalam keadaan sekarang langkah PH menawan Pasir Salak bukan misi yang mustahil," katanya.

Nik Omar merupakan anak kedua kepada pasangan Nik Abdul Aziz dan dan Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Dalam PRU ke-13 dia menjadi calon pilihan raya buat kali pertama dengan menjadi pertaruhan PH bagi kerusi DUN Chempaka di Kelantan. Dia gagal dalam cubaan pertama berkenaan.

Namun dengan pembentukan kerajaan pusat oleh PH, Nik Omar, 57, dilantik menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Nik Omar - yang sebelum ini menegaskan kecenderungannya untuk membawa legasi pemikiran Nik Abdul Aziz - berdepan saingan empat penjuru di Pasir Salak.

Selain Azwan Bro, dua calon lain yang turut mahu menguasai kerusi itu ialah Jamaludin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (Pejuang).

Sebanyak 81 peratus daripada pengundi Pasir Salak merupakan orang Melayu diikuti Cina (13 peratus), India (4 peratus) dan Orang Asli (2 peratus).

Mengenai peluang PH di Kampung Gajah, Mohd Syamsul berkata dia lebih selesa menjadi 'underdog' ketika berdepan dengan calon lain, khususnya Wan Norashikin.

Turut bertanding di situ ialah Zafarulazhan Zan yang mewakili PN, dan Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad (Pejuang).

"Memang ada beberapa faktor kekuatan dan kelemahan pada PH untuk memenangi DUN ini, tapi adasatu perkara saya tegaskan di sini.

"Kali ini PH Pasir Salak bertanding dalam satu pasukan yang utuh dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya berharap kerjasama berpasukan ini mampu membawa kemenangan kepada PH di Kampung Gajah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS