Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Strategi Zahid mungkin makan tuan di tengah gelombang PH dan PN

Dari utara ke selatan di Semenanjung Malaysia, situasi tidak kelihatan begitu baik untuk BN.

Walaupun gabungan itu dijangka memperoleh sedikit pertambahan sokongan berbanding pilihan raya umum (PRU) 2018, ia mungkin tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri.

Ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kelihatan bersedia untuk menawan sejumlah besar kerusi.

PH dilihat bersedia untuk mengekalkan penguasaannya di kubu kuatnya di Lembah Klang dan Pulau Pinang - sambil mengekalkan momentum yang diperolehnya di Johor dan Negeri Sembilan.

Jangkaan juga tinggi untuk PH memenangi semula Perak dan majoriti kerusi parlimen negeri itu.

Bagi PN pula, gabungan yang diterajui Bersatu dan PAS itu dilihat berada di landasan yang tepat untuk menawan sebahagian besar kerusi di Kelantan dan Terengganu.

PH dan PN juga kelihatan bersedia untuk menawan banyak kerusi di Kedah, manakala Perlis mungkin menyaksikan setiap gabungan mendapat satu kerusi.

Malah Pahang mungkin melihat beberapa kerusi BN dirampas.

Bagi PN, kerjasama PAS dan Bersatu akan memberi kelebihan kepada gabungan itu di kerusi di mana PAS adalah parti pembangkang yang dominan manakala Bersatu berpeluang memecahkan undi Melayu yang dinikmati BN sebelum ini.

PN tampil sebagai alternatif kepada BN untuk orang Melayu yang mahukan kerajaan yang bersih tetapi tidak mahu mengundi PH kerana DAP.

PN juga mengambil pendekatan retorik untuk menjauhkan pengundi konservatif dari PH, dengan yang terbaru ialah kenyataan pengerusi PN Muhyiddin mendakwa PH adalah ejen Yahudi dan Kristian yang ingin menjajah Malaysia.

Bagaimanapun, pertembungan PN dan BN dijangka memberi kelebihan kepada PH di kerusi campuran dan bandar, serta kerusi di mana orang Melayu membentuk kurang daripada 65 peratus pengundi - susulan kemungkinan undi Melayu berpecah dan seterusnya membolehkan PH yang mendapat sokongan bukan Melayu menang.

Elemen kejutan

Sementara itu, nampaknya terdapat peningkatan besar sentimen untuk keluar mengundi berbanding pilihan raya negeri (PRN) Johor pada Mac, di mana ramai pengundi luar tidak pulang untuk membuang undi.

Sekiranya trend ini berterusan, ia berkemungkinan akan menguntungkan PH kerana kebanyakan pengundi luar bandar tinggal di kawasan bandar yang dikuasai PH.

Peratusan keluar mengundi yang rendah di kerusi campuran dan bandar adalah faktor utama mengapa BN mampu menang besar di Johor sebelum ini.

Walau bagaimanapun, satu faktor yang mungkin memesongkan ramalan adalah pengundi baru - pengundi berumur 18 hingga 20 tahun, dan mereka yang lebih tua yang tidak mendaftar pada masa lalu tetapi kini berada dalam daftar pengundi selepas pendaftaran automatik dilaksanakan.

Walaupun majoriti berpendapat bahawa ramai daripada mereka yang berumur 20 tahun ke atas yang mendaftar di bawah pendaftaran pemilih automatik tidak berminat dengan pilihan raya, terdapat beberapa petunjuk bahawa golongan ini akan mencuba mengundi buat pertama kali.

Seorang pendandan rambut berusia 30-an, yang merupakan salah seorang yang berdaftar secara automatik, memberitahu Malaysiakini minggu lalu bahawa dia akan keluar mengundi Sabtu ini.

Wanita itu - yang enggan namanya disiarkan - berkata walaupun dia tidak mempunyai pengetahuan tentang politik, dia akan "mengikut gelombang" sentimen tentang siapa yang akan diundi.

Jika pengundi dari kumpulan ini benar-benar membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya, sukar diramal calon pilihan mereka.

Melainkan pengundi baru membuat kejutan yang memihak kepada PH, gabungan itu berkemungkinan kekal sebagai pembangkang walaupun ia memenangi kerusi terbanyak dalam parlimen yang tergantung.

Ini kerana gabungan dan parti lain - termasuk GPS yang dijangka jadi penentu (kingmaker) - sangat tidak serasi dengan PH dan dijangka tidak akan mempunyai kerusi yang cukup untuk menyumbang majoriti kepada PH.

Berita buruk buat Zahid

Tetapi sama ada PH menang atau gagal membentuk kerajaan - kedua-dua senario boleh menjadi berita buruk bagi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dan penyokongnya dalam Umno mendesak pilihan raya awal atas kepercayaan bahawa mereka boleh mengulangi keputusan PRN Melaka dan Johor, yang menyaksikan peratusan keluar mengundi rendah dan undi berpecah membolehkan BN memenangi majoriti dua pertiga.

Membentuk kerajaan dengan saingan Bersatu - bukan sebahagian daripada rancangan itu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, ini masih tidak pasti kerana Presiden Bersatu Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menunjukkan keengganan untuk berganding bahu dengan Umno sekali lagi - atau sekurang-kurangnya dengan mereka yang bersekutu dengan Zahid.

Hadi berkata adalah lebih baik PN kekal sebagai pembangkang jika tidak memenangi PRU15 - walaupun ini bukan pendirian yang dikongsi oleh semua pemimpin PAS.

BN cuba memanipulasi perbezaan pendapat dalam PAS ini memecahbelahkan PN, dengan harapan dapat menjauhkan PAS daripada Bersatu.

Antara lain, calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob berkata PAS sepatutnya menjadi parti dominan dalam PN dan bukannya parti yang selalu diberi peringatan oleh Bersatu.

Walaupun lompat parti disekat oleh perubahan perundangan, PAS belum lagi meminda peraturan partinya yang menghalang ahli parlimen daripada melawan arus keputusan parti.

Ini kerana di bawah undang-undang antilompat parti, ahli parlimen hanya kehilangan kerusi mereka jika mereka meletakkan jawatan atau menyertai parti lain, tetapi mengekalkan kerusi mereka jika mereka dipecat.

Ini bermakna secara teorinya, ahli parlimen PAS seperti Takiyuddin Hassan boleh kekal dalam parti sambil menyokong usaha BN untuk membentuk kerajaan.

Parti seperti DAP dan Amanah telah memulakan perubahan di mana wakil rakyat yang menentang keputusan parti dianggap telah "meletak jawatan".

Walau bagaimanapun, jika wakil rakyat PAS tetap setia kepada hala tuju Hadi - ia akan jadi pertaruhan kalah mati buat BN.

Hadi dan penyokongnya terus-menerus menyatakan bahawa Bersatu, Umno, dan PAS mesti bekerjasama.

Apapun, mana-mana senario di mana BN perlu mendapatkan sokongan Bersatu untuk membentuk kerajaan mungkin akan menyaksikan Umno menghukum Zahid.

Presiden Umno itu sama ada akan ditekan untuk meletakkan jawatan - atau berisiko digulingkan pada pemilihan Umno yang dijadualkan enam bulan selepas PRU.

Salah seorang pesaing Zahid, Khairy Jamaluddin, telah pun mendedahkan rancangan untuk bekerjasama dengan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein untuk pemilihan Umno.

Bagi Ismail Sabri, walaupun dia adalah 'poster boy' BN untuk pilihan raya kali ini, sebarang kegagalan untuk menang boleh ditudingkan kepada Zahid yang mendesak untuk pilihan raya awal dan bukannya menunggu pilihan raya diadakan tahun depan.

Untuk kelangsungan politiknya, Zahid mesti mengharapkan BN untuk memenangi sekurang-kurangnya 93 kerusi, manakala GPS mengekalkan 19 kerusi atau menang lebih banyak lagi.

Ini akan membolehkan BN dan GPS membentuk kerajaan tanpa PN - atau dalam kata lain kembali kepada BN sebelum 2018.

Fitch Solutions yang berpangkalan di UK melaporkan hari ini bahawa BN paling berpotensi menjadi pemenang pada pilihan raya esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS