Seorang rakyat Malaysia yang ada di AS mendakwa dia menerima dua set kertas undi pos untuk pilihan raya umum (PRU) kali ini, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikannya.
Adelia Abdul Rahim yang tinggal di Oregon, berkata dia menerima set kertas undi pertama pada 11 Nov - lebih awal berbanding pengundi lain di tempat yang sama - dan mengeposnya semula selepas ditanda pada 14 Nov.
Namun begitu, sehari kemudian dia menerima satu lagi set kertas undi.
“Semua yang diterima di sini begitu teratur - nombor sirinya sepadan, kecuali tiada alamat pegawai pengurus pilihan raya pada sampul B.
"Saya tengok ramai orang lain ada masalah yang macam ini. Saya fikir ia bukan masalah besar.
“Saya dapat set kedua pada 15 Nov. Kedua-dua set memaparkan butiran sama seperti nama, alamat dan kawasan mengundi, kecuali nombor siri berbeza dan ada ‘kemas kini’ kecil pada Sampul B yang ada alamat pegawai pengurus ditampal di situ,” katanya kepada Malaysiakini menerusi mesej teks.
Adelia menambah, dia hubungi nombor telefon Unit Pengurusan Undi Pos (UPUP) SPR tapi tidak mendapat sebarang jawapan.
Justeru katanya dia memutuskan untuk meninggalkan maklum balas pada borang dalam talian SPR.
Menurut Adelia, SPR menghantar set pertama pada 8 Nov, sementara set kedua pula pada 11 Nov.
Adelia yang pernah mengundi melalui pos sebelum ini memberitahu, dia tidak menghantar semula kertas undi kedua yang diterimanya itu
“Persoalan saya ialah, adakah pertindihan ini akan menjejaskan undi saya?” katanya yang menetap di luar negara sejak 2015.
Malaysiakini sudah menghubungi SPR untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung hal itu dan sedang menunggu jawapan balas.
Kes Adelia itu dipercayai sesuatu yang jarang berlaku, tetapi dalam kumpulan Facebook yang ditubuhkan oleh NGO untuk membantu pengundi pos, ramai tampil mengadu mengenai isu lain berkaitan undi mereka.
Ia termasuk nombor siri pada kertas undi yang tidak sepadan dengan nombor siri pada sampul surat atau borang.
Ini mendorong Global Bersih mengeluarkan nasihat mengenai perkara berkenaan, selepas mendapat penjelasan daripada SPR.
Dalam panduan kepada pengundi pos, NGO itu mengarahkan pengundi yang berdepan dengan sesuatu untuk memotong nombor siri pada sampul surat, dan menggantikannya dengan nombor siri dari kertas undi masing-masing.
"Jangan tanda apa-apa pada kertas undi kecuali untuk memilih (memangkah) calon anda," kata Bersih.