Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saingan Gombak: PN, BN main naratif anti-DAP di kerusi majoriti Melayu

Gombak, kawasan parlimen yang sangat padat dengan sebahagian besar daripada lebih 206,000 pengundi adalah Melayu, menyaksikan pertembungan lima penjuru Sabtu ini.

Namun, tumpuan utama di kerusi panas ini ialah saingan antara Mohamed Azmin Ali dari Perikatan Nasional (PN) dan Amirudin Shari dari Pakatan Harapan (PH).

Azmin yang merupakan timbalan presiden PKR sebelum meninggalkan parti itu pada 2020, bukan saja pendahulu Amirudin bagi jawatan menteri besar Selangor, tapi juga dilihat sebagai mentornya.

Azmin akan cuba mempertahankan kerusi Gombak untuk penggal keempat, kali ini, bukan di bawah panji PH.

Dalam tiga PRU lalu, Azmin menunggang gelombang antikerajaan BN, tetapi kali ini, dia adalah sebahagian daripada kerajaan meski bukan bersama gabungan BN.

Situasi ini memaksa Azmin untuk menukar taktik.

Jika pada 2018, ketika memenangi 53 peratus undi, Azmin berkempen atas platform yang lebih inklusif dan pelbagai kaum di bawah PH.

Kali ini, dengan Bersatu dan PN, dia meletakkan imej yang lebih konservatif, dalam usaha memenangi pengundi Melayu yang membentuk 70 peratus pengundi.

Ini terbukti dalam ceramahnya, yang mengetengahkan sumbangannya kepada orang Melayu dan Islam semasa menjadi menteri besar Selangor, termasuk bilangan masjid dan surau yang dibina dengan peruntukan negeri yang diluluskan olehnya.

Membawa tema yang sama, dia menumpukan serangannya terhadap DAP - parti yang menjadi sekutunya selama empat tahun menjadi menteri besar - dalam usaha untuk menangani label 'pengkhianat' yang diberikan kepadanya susulan peranannya dalam rampasan kuasa politik Langkah Sheraton pada Feb 2020.

Satu perkara yang berulang dalam ceramahnya ialah bagaimana DAP dan menteri kewangan sebelum ini Lim Guan Eng didakwa mahu "menutup Ekuinas", sebuah syarikat pengurusan ekuiti swasta yang ditubuhkan untuk membantu syarikat bumiputera peringkat pertengahan.

"Dia (Lim) mahu mengambil dana pusingan RM2.4 bilion yang Ekuinas ada," kata Azmin kepada kira-kira 50 pengundi yang berkumpul di bawah kanopi putih yang didirikan di sebelah Surau Ubudiah di Fasa 9 Taman Seri Gombak, yang dikaitkan dengan PAS .

Dia juga mendakwa DAP telah menjejaskan agensi kerajaan lain untuk ditubuhkan bagi menyokong bumiputera termasuk Teraju dan Felda.

“Kita serahkan perkara itu kepada Guan Eng, (tetapi) dia potong peruntukan sejauh 300 kilometer sahaja,” tambah pemimpin Bersatu itu sambil menyalahkan Lim kerana didakwa memotong peruntukan untuk jalan raya di penempatan Felda, yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

"Jadi bagaimana saya boleh kekal dalam PH (selepas semua ini)? Bagaimana orang boleh menuduh saya sebagai pengkhianat? Ini fakta. Adakah saya pengkhianat?" tegasnya dalam ceramah, menimbulkan kemarahan beberapa hadirin yang lantang menjawab "tidak!".

Sebaliknya, katanya, pengkhianat sebenar ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah Wan Ismail, yang mencetuskan pilihan raya kecil (PRK) untuk membolehkan mereka memenangi kerusi di Port Dickson dan Kajang (DUN), sekali gus "mengkhianati mandat rakyat".

Memilih mesej yang betul

Data pilihan raya mungkin memberikan gambaran tentang mengapa Azmin berkempen di platform ini.

Pada 2018, undi terhadap Azmin berpecah antara calon BN dan PAS.

Dengan mengandaikan semua pengundi PAS kini menyokongnya, Azmin mesti mencari jalan untuk mendapatkan sokongan pengundi yang menyokong Umno pada 2018, pada masa yang sama mengekalkan sebahagian daripada undi yang diraih pada PRU14.

Dengan sebahagian besar pengundi Gombak adalah orang Melayu, mungkin cara paling mudah mendapatkan undi adalah bermain politik identiti.

Tetapi Gombak mempunyai populasi minoriti yang besar, dengan pengundi Cina membentuk 11 peratus pengundi, dan India dan etnik lain membentuk 13 peratus.

Dengan menyampaikan mesejnya kepada segmen pengundi ini, naratif "pelindung Melayu" sebahagian besarnya tidak diketengahkan apabila Azmin bercakap dengan masyarakat Cina di Taman Sri Gombak.

Di sana, dia mensasarkan serangannya kepada Amirudin, yang dia sendiri pilih untuk menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

Bercakap di hadapan seribu hadirin majlis makan malam itu, Azmin berkata Amirudin yang dianggapnya sebagai "adik" tidak berani menentang kepimpinan PKR yang meletakkanya bertanding di Gombak.

“Tak boleh (begini). Kalau nak bertanding mesti komited, bukan kerana paksaan.

“Dan saya menawarkan diri saya kepada anda pengundi Gombak kerana saya mahu berkhidmat di sini,” katanya.

Sama ada pendekatan Azmin untuk menggambarkan dirinya sebagai pembela Melayu akan berhasil menarik undi di kawasan bandar yang tidak asing untuk memberi undi kepada DAP dalam pilihan raya sebelum ini adalah persoalan besar.

PH berdepan dengan kesulitannya sendiri, Amirudin dilihat lebih banyak bertahan.

Menangani serangan kerana didakwa meletakkan kepentingan Melayu dalam bahaya, Amirudin berulang kali mempertahankan pendirian PH sebagai gabungan berbilang kaum yang "mempertahankan kepentingan semua masyarakat".

Dalam ceramah, Amirudin memberitahu pengundi bahawa jika DAP benar-benar mahu menghancurkan Islam di negara ini, Lim, yang merupakan menteri kewangan ketika pentadbiran PH, tidak akan cuba menyusun semula Tabung Haji untuk menyelamatkannya daripada masalah kewangan.

“Dan jika DAP atau sesiapa sahaja dalam parti yang kita bekerjasama benar-benar mahu menyerang Islam, maka (Islam di) Selangorlah yang mula-mula hancur.

“Tetapi peruntukan untuk aktiviti Islam kekal tertinggi di Selangor setiap tahun,” katanya.

Selangor mempunyai seramai 56 Adun, dengan 45 daripadanya merupakan wakil PH, termasuk 15 daripada DAP.

Amirudin juga membidas Azmin kerana dakwaannya sebelum ini bahawa ekonomi Selangor merosot sejak dia mengambil alih jawatan menteri besar.

Dia memberitahu pengundi semasa ceramah di Hulu Kelang bahawa negeri itu sebaliknya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sejak dia mengambil alih.

"Apabila saya tunjukkan semua fakta, barulah dia (Azmin) diam. Kemudian dia cuba serang saya dengan cara lain, kononnya saya di bawah kuasa DAP, negeri ini telah mengurangkan peruntukan untuk Islam, tidak membela Melayu dan kepentingan orang Islam.

"Apabila dia tidak dapat menghadapi realiti, dia cuba memainkan sentimen," katanya.

Amirudin yang juga naib presiden PKR itu turut membidas Azmin kerana cuba menggunakan naratif anti-DAP untuk mewajarkan peranannya dalam rampasan kuasa politik, dan mengingatkan pengundi betapa Azmin gembira menerima sokongan DAP untuk mengekalkannya dalam jawatan menteri besar sebelum ini.

"Ada bekas-bekas pemimpin PH yang lompat parti dan runtuhkan kerajaan. Keluar kerajaan tu niat dia tak nak Anwar jadi perdana menteri.

"Sebabnya apa? Dijaja kononnya Anwar ni tak bermoral. Siapa yang menyemai angin, dia menuai badai. Saya tak payah nak ulas panjang. Bukan kerja saya nak dedah aib atau cerita benda yang tak begitu jelas," kata Amirudin.

Dia dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa memaparkan Azmin, tetapi pihak berkuasa tidak dapat menentukan kesahihan kerana kualiti rendah rakaman itu.

Naratif lama

Walaupun usaha Azmin untuk menggunakan sentimen kaum mungkin helah untuk meraih undi penyokong BN, di kem BN sendiri, calonnya Megat Zulkarnain nampaknya menggunakan taktik yang sama.

Sebagai calon bukan pilihan, Megat tetap yakin bahawa dia boleh mengekalkan kira-kira 26,000 undi yang berjaya diraih BN pada 2018, ketika gabungan itu dihanyutkan dalam tsunami politik.

“Tidak boleh lebih teruk daripada itu, kerana tidak ada pilihan raya umum yang lebih teruk bagi BN (selain 2018),” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Megat Zulkarnain

Di Keramat, tempat pengundi majoriti Melayu telah mengundi PH pada 2018, Megat mendakwa seorang senator DAP telah cuba untuk mengeluarkan agama seseorang daripada MyKadnya.

“Pada 2018, kita sudah kata apabila anda memberi satu undi kepada PKR, bermakna anda memberi satu undi kepada DAP. Tetapi orang Melayu tidak mendengar cakap kami.

"Tetapi kemudian, dalam tempoh 22 bulan mereka berkuasa, kita dapat lihat bagaimana keadaannya. Mereka sampai ke tahap membawa isu 'Islam' dalam IC (MyKad) kita ke Parlimen. Nasib baik perkara ini tidak menjadi kenyataan," katanya pada ceramah di Pangsapuri Bukit Baru di Keramat Hujung.

Dia merujuk kepada ucapan senator DAP Nga Hock Cheh pada April 2019, yang meminta anak-anak Malaysia yang dilahirkan diberi identiti kebangsaan dan bukannya kaum untuk menangani isu perkauman di Malaysia.

Senator DAP itu menafikan dakwaan dia mahu agama dikeluarkan daripada MyKad.

Megat Zulkarnain seterusnya mendakwa DAP akan menggunakan orang seperti Amirudin dan Anwar untuk mendapatkan sokongan orang Melayu, dan menasihatkan orang Melayu "jangan dipatuk ular yang sama dua kali".

"Percayalah apabila saya katakan bahawa mereka tidak akan berhenti," katanya kepada sekumpulan kecil pengundi di AU3.

Siapa yang akan menang?

Kerusi Gombak mungkin 70 peratus Melayu, tetapi pengundinya adalah penduduk kosmopolitan Lembah Klang, di mana sentimen perkauman mungkin tidak begitu laku seperti di kawasan pedalaman Melayu yang lebih luar bandar.

Kesusahan ekonomi selama dua tahun sekatan Covid-19, di bawah kerajaan pimpinan PN, mungkin juga segar dalam fikiran pengundi bandar.

Untuk menangani isu ini, Azmin berusaha keras untuk cuba memadamkan tanggapan bahawa PN adalah "kerajaan gagal", dengan berkongsi cerita bagaimana pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan dia sendiri telah berjaya mengemudi negara semasa kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19.

Program vaksinasi Kementerian Kesihatan, yang mana kerajaan telah membelanjakan lebih RM6 bilion, adalah teras kepada ucapannya, mengatakan bahawa kepimpinan Muhyiddin telah menyelamatkan rakyat Malaysia daripada mengalami wabak yang lebih teruk.

"Jika hendak menguji pemimpin, ujilah dia semasa krisis. Jika pemimpin itu berjaya menangani krisis dan membawa negara keluar dari kegawatan ekonomi, itulah pemimpin yang mampu memartabatkan masyarakat dan memakmurkan negara," katanya pada majlis di Sungai Kertas yang dihadiri 50 orang.

Tinjauan oleh KiniTV pada bahagian awal kempen mendedahkan skala seimbang - 12 pengundi yang dihampiri, enam mengatakan mereka akan mengundi Azmin dan enam lagi menyokong Amirudin.

Tetapi semalam, lebih 5,000 hadir meski cuaca hujan untuk memenuhi ceramah PH di kawasan itu, jauh mengatasi bilangan penyokong PN pada ceramah gabungan itu di tempat yang sama dua hari sebelumnya.

Jika peratusan keluar masuk ceramah adalah sesuatu yang perlu diambil kira, Azmin mungkin perlu bersedia dengan kejutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS