Meskipun kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) telah masuk ke fasa akhir, kempen di parlimen Tapah masih tidak nampak sebarang tanda-tanda perlahan.
Sejak hari penamaan calon, calon BN M Saravanan dan calon PH K Saraswathy menjadi perhatian pemerhati politik selepas dua seteru dalam dan luar politik bertembung kali pertama dalam pilihan raya.
Saravanan terkenal sebagai anak murid bekas presiden MIC mendiang S Samy Vellu, di sudut lain Saraswathy pula dikenali sebagai penyokong tegar bekas timbalan presiden MIC mendiang S Subramaniam di mana kedua-dua terkenal dengan permusuhan di arena politik tanah air lebih tiga dekad.
Walaupun, kedua-dua pemimpin itu telah meninggal dunia pada tahun ini namun, penyokongnya tetap menjadi seteru dalam politik.
Memasuki fasa terbaharu, Saravanan timbalan presiden MIC dilawan oleh Saraswathy yang merupakan Naib Presiden PKR.
Mengakui membuat penampilan selaku parti bukan pilihan atau 'underdog', Saraswathy berkata bahawa dia mampu membuat kejutan pada PRU-15.
Peguam kelahiran Pulau Pinang yang bertanding kali pertama pada PRU berkata bahawa Tapah bukan lagi kubu kuat BN.
"Saya percaya pemerhati politik dari luar masih menganggap bahawa Tapah kubu kuat BN kerana calonnya (M Saravanan) tidak pernah kalah selama tiga penggal.
"Saya di sini lebih sebulan dan apa yang saya mendapati adalah politik wang tidak akan 'laku' di Tapah pada kali ini.
"Warga Tapah kini sudah sedar. Boleh dikatakan sudah bangkit untuk membuat perubahan pada kali ini," katanya kepada Malaysiakini.
Saravanan memenangi Tapah pada 2018 dengan majoriti tipis 614 undi dan hanya 47.1 peratus undi.
Dia perlu menghalang lima lawan untuk mengekalkan kerusi pada kali ini.
Selain, pihak lain yang akan bersaing adalah calon PN Muhammad Yadzan Mohammad (Bersatu), calon Warisan Muhammad Akbar Sherrif Ali Yasin, dan calon GTA Mior Nor Haidir Suhaimi (Pejuang) serta calon Bebas M Kathiravan.
Menurut Saraswathy, pengundi di Tapah pada kali ini, lebih cenderung mengukur pembangunan di kawasan berbanding faktor calon dan partinya.
"Tapah memang tidak ada pembangunan yang sepatutnya. Hospital yang uzur, isu pengangkutan awam dan peluang pekerjaan yang rendah membuat warga Tapah mula berhijrah ke kawasan lain.
"Tapah seolah-olah menjadi 'ghost town' pada waktu malam kerana tiada pusat sosial kepada belia," katanya.
Orang luar tak faham Tapah
Sementara itu, Saravanan berkata bahawa membuat perbandingan Tapah dengan Kuala Lumpur satu perkara yang kurang cerdik.
"Saya lihat semasa kempen orang-orang luar ini sering membandingkan Tapah dengan Kuala Lumpur, Ipoh dan sebagainya. Pandangan saya, orang luar tak faham Tapah.
"Pertama mereka perlu faham apa makna pembangunan. Pembangunan di Kuala Lumpur berbeza dengan Tapah.
"Saya tidak boleh membina menara berkembar di Tapah. Ini kawasan luar bandar. Pembangunan di sini berteraskan pembangunan sumber manusia.
Menurut Menteri Sumber Manusia itu, selepas dia menang Tapah pada 2008, beliau cuba menyelesaikan isu kemudahan-kemudahan asas seperti ketiadaan jalan raya, lampu trafik dan isu tanah khususnya rumah ibadat.
"Pernahkah anda dengar, perobohan rumah ibadat di Tapah dalam masa 15 tahun ini. Tidak ada sebab itu tanah kebanyakannya telah selesai.
"Kini kami beri perhatian kepada pembangunan sumber manusia. Antaranya pendidikan untuk semua bermula tadika ke institut pengajian tinggi. Latihan kemahiran kepada belia yang berpelajaran rendah.
"Kita telah membina kompleks sukan untuk belia di sini. Ada dewan orang ramai termasuk di kampung-kampung Orang Asli.
"Jadi, rekod saya di sini akan bercakap bagi pihak saya pada PRU kali ini," katanya.
Tapah perlu idea baru untuk pembangunan
Sementara itu, calon GTA Mior berkata bahawa Tapah memerlukan satu idea baru untuk membangunkan parlimen ini.
Ketika ditanya peluang kemenangan PRU pada kali ini, Mior berkata peluangnya sangat cerah.
"Penerimaan orang baru sangat besar. Saya harap rakyat Tapah ada jiwa besar untuk perubahan.
"Bukan untuk membenci pemimpin tetapi melihat satu idea baru (wakil rakyat) masuk ke Tapah untuk membangunkan sebab idea lama tidak berjaya," katanya.
Katanya, isu paling utama daripada pengundi adalah kesesakan lalu lintas.
"Tapah tidak boleh menjadi hanya sebagai pintu masuk ke Cameron Highlands. Kesesakan lalu lintas lebih 20 tahun tidak diselesaikan.
"Jika saya menang saya sedaya upaya menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas ini.
Mior juga berkata impiannya untuk Tapah menjadikan Tapah sebagai hub pelancongan dan pendidikan.
Tapah mempunyai 61,946 pengundi yang layak mengundi pada 19 November ini.
Pengundi Melayu (28,231) diikuti Cina (14,965), India (8,561) dan Orang Asli (9,428).