Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Suruh KJ cermin diri sebelum nak reform Umno

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menempelak dan meminta menteri kesihatan sementara, Khairy Jamaluddin supaya mencermin diri sebelum berhasrat untuk melakukan reformasi dalam Umno.

"Semalam saya pergi ke Sungai Buloh nak bagitahu pada Khairy Jamaluddin, dia kata nak reform, nak bawa perubahan dalam Umno.

"Baik hang (kamu) cermin muka hang dulu. Vaksin tak tender, Mysejahtera bagi kat kawan, syarikat Singapura pulak tu.

"Nak reform (perbaharui) Umno, reformlah tapi jangan guna rakyat semasa pilihan raya ini buat janji palsu.

“Lebih 60 tahun dah pi cuti lah bagi aku pula," dakwanya ketika menyampaikan ucapan di program ceramah grand finale Parlimen Kangar, di Perlis, hari ini.

Terdahulu Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh berharap dia akan menang di kerusi itu dalam PRU ke-15 untuk melakukan 'pembersihan' dalam Umno.

Katanya, jika dia dapat menawan Sungai Buloh dia akan membawa perubahan kepada negara, Umno dan BN.

Bekas ahli parlimen Rembau itu turut mengakui ramai orang menyuarakan kepadanya bahawa mereka 'tidak gemar' segelintir pemimpin Umno yang tidak dinamakannya.

Sebelum ini Khairy adalah menteri yang bertanggungjawab dalam menguruskan pemberian vaksin Covid-19 dan aplikasi Mysejahtera ketika pandemik melanda negara.

Sementara itu Anwar turut menyeru supaya Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan pemimpin PAS supaya bercuti kerana masing-masing sudah pernah menjadi perdana menteri dan menteri.

"Muhyiddin dah jadi perdana menteri dah, dah merasa jadi menteri.

"Bercutilah sekejap, bagi kat aku perbetul negara sat," katanya.

Tambah calon perdana menteri PH itu, rakyat tidak perlu takut dengan DAP kerana Malaysia memerlukan orang Melayu sebagai ketua.

"Saya nak beritahu sekali lagi di negara kita perlukan orang Melayu sebagai ketua. Perlu Melayu yang tegas untuk bela nasib Melayu, budaya dan agama.

"Di Malaysia kita perlu penyertaan Cina, India, Sabah dan Sarawak. Masalahnya bukan Cina, tetapi pemimpin Melayu yang rasuah dan bodoh," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS