Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU15 | Beberapa pengundi Felda membangkitkan jasa Muhyiddin hapus hutang peneroka manakala yang lain terang-terangan sokong BN.

Berbaki dua hari lagi untuk calon berkempen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), rata-rata calon sedang membuat pecutan terakhir ke seluruh pelusuk kawasan mereka.

Pengundi Felda juga menjadi penentu calon yang memenangi kerusi pilihan raya.

Malaysiakini menemubual secara rawak beberapa pengundi di dalam kawasan parlimen Tanjong Malim, antaranya gugusan Felda Gunung Besout dan Trolak dan Felda Sungai Klah bagi melihat pandangan mereka terhadap kempen parti-parti yang bertanding setakat ini.

Bagi peneroka Felda Gunung Besout 3, Jamil Mansor, 70, (gambar, atas) setakat ini, katanya PN lebih menarik perhatiannya, malah turut menyentuh isu berkenaan Felda.

“Masa Tan Sri Muhyiddin (Yassin) datang, dia yang berjaya menghapuskan… melunaskan hutang-hutang peneroka Felda.

“Memang berpuas hatilah sebab dia menyeluruhkan,” katanya.

Untuk rekod, Muhyiddin pada sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai 2021 mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian hutang pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Peneroka di Felda Gunung Besout 2, Asiah Yusof, 68, (gambar, atas) pula nampaknya cenderung menyokong PN

Katanya, Muhyiddin telah hadir berkempen di situ dan memberi penerangan berkenaan hutang Felda.

“Abah (Muhyiddin) ada datang bagi ceramah, peneranganlah untuk kita di Felda ni, dia kata satu daripadanya hutang dah dilunaskan RM8.3 bilion.

“Buah sawit pun, dia lah yang punya kerja keras dialah kita dapat harga buah yang mahal, jadi macam mana pun kita ingatlah dia,” jelasnya.

Tambahnya, melihat kepada gelombang pengundi muda berumur 18 tahun ke atas dibenarkan mengundi, katanya mampu memberi kesan kepada perubahan kepada pengundi di Felda ini.

“Ada kemungkinan banyak budak-budak muda yang menyokong PN ni lah,” katanya lagi.

Menurut Jamilah Abdullah, 68, dia menganggap calon PN lebih mengangkat isu-isu Felda.

“Acik dengar ceramah isu-isu Felda ni daripada Muhyiddin Yassinlah, (dia) ada menekankan Felda macam ulat bungkus, lepas tu (isu) generasi kedua dan tanah-tanah kosong,” katanya.

Bagi penduduk Felda Trolak Timur, Dalilah Mustafa, 46, (gambar, atas) katanya tiada mana-mana calon yang menyentuh berkenaan isu Felda yang berkempen di tempatnya.

“Setakat yang saya ikut lah, setakat ini tak adalah sebab dia tak ada sangkut paut sebut isu Felda, tak ada,” katanya.

Tambahnya lagi, penduduk di sini lebih berpihak kepada BN kerana mengenangkan kebaikan kerajaan yang membantu mereka walaupun masyarakat di sini katanya kebanyakan berasal dari Semanggol di Bagan Serai, kawasan ramai penyokong PAS.

“Kebanyakan sini sokong BN lah kecuali yang tak puas hati yang memang dari kampung (Semanggol) bawa ke sini.

Depa akan sokong BN

“Tapi kalau yang pandai menilai, depa tahu kebaikan keburukan, depa akan sokong BN sebab depa tahu susahnya duduk Felda macam mana kecuali orang tu kuat dari kampung sebab masa depa duduk kampung dulu kebanyakannya PAS,” katanya.

Seorang pemuda di Trolak Selatan, Mohd Saufi Sagir, 36, berkata isu Felda yang disentuh bergantung kepada masalah yang terdapat di kawasan-kawasan Felda tertentu.

“Kalau dia sentuh dan tak sentuh bergantung kepada isu sebuah Felda yang ada masalah, contohnya kalau mengalami masalah perjalanan ataupun ekonomi dia akan sentuh isu yang betul. Kalau dia tidak sentuh isu yang betul mungkin akan banyak penolakan sebab Felda ni masalah tak sama.

Gambar hiasan.

“Contoh ekonomi sini, sawit, perniagaan jual beli ataupun keperluan orang miskin ataupun bah alam banjir-banjir kecil,” katanya yang juga peniaga.

“Banjir sudah lama disentuh, cuma usaha-usaha kecil tu ada contoh pemulih parit dengan cara mengorek, membaiki jalan yang roboh dibaiki semula lebih baik daripada tu, sistem perparitan yang semula lah. Kebanyakannya masih lagi dalam keadaan kecil, belum lagi seluruhnya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pengundi di Felda Sungai Klah yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad Abdullah, 31, berkata dia hanya melihat kempen calon PRU15 dari jauh sahaja tanpa mengetahui janji-janji yang menarik.

“Setakat ni kalau macam janji-janji untuk Felda tu rasanya tak ada dengar,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga tidak pasti jangkaan pihak mana yang menonjol di kawasannya disebabkan situasi politik yang berubah.

“Saya tak boleh nak jangka siapa menonjol sebabnya lepas daripada PRU14, dia punya ombak tu bergerak, macam tu,” ujar cucu peneroka itu.

Seorang lagi warga Felda di situ, Rosdi Safie, 37, berkata dia pula tidak mengambil tahu berkenaan isu-isu dalam kempen yang dibawa.

“Saya tak pergi, tak ambil tahulah sangat,” katanya.

Berkenaan harapan sebagai pengundi di Felda ini, katanya lebih menginginkan jaminan keselamatan dan keselesaan hidup.

“Jaga keselamatan keselesaan Felda ni, Alhamdulillah lah cukup ja, itu ja,” katanya secara ringkas.

Tanjong Malim merupakan kawasan parlimen yang terletak di selatan negeri Perak meliputi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibawahnya iaitu Sungkai, Slim dan Behrang dengan terdapat beberapa Felda di dalamnya iaitu gugusan Gunung Besout, gugusan Trolak, Sungai Klah dan Sungai Behrang.

Pada PRU14, parlimen Tanjong Malim dimenangi Chang Lih Kang daripada PH dengan majoriti 5,358 undi menewaskan Mah Hang Soon (BN) dengan 19,314 undi dan Mohd Tarmizi Ab Rahman (PAS) dengan 10,311 undi.

Pada pilihan raya umum kali ini, PH mengekalkan penyandangnya, Chang Lih Kang dan dicabar calon BN, Mah Hang Soon dan calon PN daripada Bersatu, Nolee Radzi yang sebelum ini merupakan Adun Tualang Sekah yang menang atas tiket BN selama tiga penggal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS