Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada restu ibu: Dr Rozaimi saran isu keluarga tidak didedah
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 7:21 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Seorang pensyarah bidang Fiqh dan Usul, berpandangan semua isu keluarga tidak harus dijadikan bahan tatapan umum semalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Dr Rozaimi Ramlee berkata isu kekeluargaan haruslah disimpanlah dan tidak perlu didedahkan.

“Jika seorang pemuda yang ibunya tidak restu anaknya menyokong PAS bagaimana? Adakah wajib dia menyokong PN atau BN?

“Taat kepada ibu bapa itu wajib namun ia perlu dilihat kepada banyak segi. Pertimbangan dan penilaian perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Rozaimi berkata dia terpaksa menulis isu ini kerana tidak mahu nanti semua isu keluarga dijadikan bahan tatapan umum.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) jelas merujuk kepada hantaran ibu Nik Omar Nik Abdul Aziz, Tuan Sabariah Tuan Ishak di Facebook yang berkata dia tidak merestui anaknya itu bertanding pilihan raya atas mana-mana tiket selain PAS.

Nik Omar, Calon PH di Pasir Salak

Tuan Sabariah berkata dia dan suaminya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mendidik anak-anak mereka supaya kekal dengan perjuangan Islam dibawa PAS.

Sementara itu, Nik Omar yang adalah calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pasir Salak, dipetik sebagai berkata dia tidak melakukan sebarang kemungkaran apabila bertanding dalam PRU15 ini atas tiket selain PAS.

Sebaliknya, anak bekas mursyidul am PAS itu berkata apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat dengan ibunya.

"Sehingga saat ini saya yakini bahawa saya tidak buat perkara yang mungkar, saya mungkin berbeza dari sudut pandangan dan ini bukan berkaitan dengan akidah, iman.

"Saya sebagai seorang anak macam mana pun sentiasa berdoa supaya Allah ampun dosa saya, sentiasa berdoa supaya Allah sentiasa merahmati ibu bapa saya," katanya yang dipetik portal FMT.

Ini bukan kali pertama Tuan Sabariah mengeluarkan kenyataan yang melarang anaknya menyertai atau bertanding pilihan raya atas tiket parti selain PAS.

Pada PRU14 lalu, Tuan Sabariah menentang keputusan anak keduanya itu bertanding di DUN Chempaka di Kelantan di bawah tiket Amanah.

Malah dia juga turun berkempen di kawasan itu bagi menyokong calon yang mewakili PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

Selain tidak mendapat restu ibu, Nik Omar juga menghadapi tentangan daripada adiknya sendiri, Nik Abduh yang ketika itu merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat.

Gambar Hiasan

Pada 26 Okt lalu, PKR mengumumkan anak bekas menteri besar Kelantan itu sebagai calon parti itu di kerusi parlimen Pasir Salak pada PRU kali ini.

Parlimen itu menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Nik Omar, Khairul Azwan Harun (BN), Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (GTA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS