Calon Perikatan Nasional (PN) bagi parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu yang akan berdepan pemimpin nombor satu Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mengakui bendera dan poster lawan lebih banyak dipasang di kawasan itu sepanjang tempoh kempen.
Ahmad Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu malah berjenaka dengan mengatakan bahawa dia menyangka Perak dijajah oleh Vietnam.
"Mula-mula saya pun risau apakah kita terjajah (oleh Vietnam), rupanya bukan, rupanya PH, nasib baik, saya rasa lega," katanya dengan nada jenaka ketika sidang media di Ipoh, Perak.
Bekas menteri besar Perak itu berkata Tambun kelihatan seolah-olah "meraikan hari kebangsaan Vietnam".
"Kita boleh nampak bendera PH warna merah, Tambun ini jadi macam negara Vietnam pula saya rasa. Macam sambutan hari kebangsaan Vietnam sebab bendera Vietnam kan (hampir sama) dengan (PH)...nasib baiklah dia ada (logo) A tu macam roket," katanya.
Ahmad Faizal juga berkata logo PH yang berbentuk roket mencerminkan "penguasaan" DAP dalam gabungan itu.
Meskipun pemimpin PH berulang kali menafikan dakwaan penguasaan DAP, pemimpin PN dan Umno terus menjaja naratif bahawa DAP mendominasi PH dan jika orang Melayu mengundi gabungan itu, ia akan membahayakan bangsa dan agama mereka.
Ahamad Faizal menegaskan PH memenangi perang poster di Tambun ketika mengulas dakwaan bahawa PN adalah yang paling kaya antara semua gabungan yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).
Dia berkata Bersatu dan PAS, yang merupakan dua parti utama dalam PN, perlu membentangkan laporan kewangan mereka pada kongres tahunan masing-masing dan ia bukan sesuatu yang sulit.
Bagaimanapun, perang poster dan papan iklan antara Ahmad Faizal dan Anwar berterusan sejak presiden PKR itu mengumumkan akan bertanding di kerusi itu bulan lepas.
Pada awal kempen, Ahmad Faizal menaikkan papan iklan iklan yang memaparkan dirinya dan slogan "Ayor bukan Ayaq" di Komplek Lai Chee di Tambun, sebagai sindiran terhadap Anwar.
Dalam masa seminggu, dia memasang papan iklan lain yang bertulis “Never Lost in Tambun” di sepanjang Jalan Chemur/Jalan Meru Impian. Ini kemudiannya digantikan dengan papan iklan “Dari Tambun Susur Keluar ke Utara”.
Awal minggu ini, selepas Anwar memasang poster gergasi dirinya di sekitar Tambun, satu sepanduk dengan perkataan "size does not matter" (saiz tidak penting) telah dinaikkan.
Pagi ini, Ahmad Faizal melancarkan manifesto PN, yang mengandungi pelbagai manfaat untuk negeri itu dengan tempoh kurang 48 jam sebelum pengundian.