Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim arah peguam mulakan prosiding saman fitnah terhadap Azmin
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 3:32 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata dia telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan prosiding saman fitnah terhadap Azmin Ali kerana membuat kenyataan yang menurutnya berunsur fitnah terhadapnya.

Ia berkenaan kenyataan Azmin bahawa Lim ketika menjadi menteri kewangan menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengejar syarikat yang berkaitan dengan MCA.

"Sebagai salah seorang arkitek utama Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan PH yang dipilih secara demokratik, Azmin dalam keadaan terdesak dan cuba untuk melepaskan peranan ‘pengkhianat’nya.

"Azmin telah memilih saya untuk dijadikan sasaran dengan membuat serangan peribadi walaupun saya tidak membuat provokasi terhadapnya, namun dia tetap dengan mencipta pembohongan dan diterbitkan oleh MCA dan akhbar prokerajaan.

Saya tidak pernah menggunakan LHDN untuk menyasarkan mana-mana ahli perniagaan Cina. Walaupun saya telah berulang kali meminta Azmin menunjukkan bukti, namun dia gagal berbuat demikian," kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata dia sebelum ini pernah menang saman ke atas seorang ahli perniagaan - yang menurutnya seorang penyokong kerajaan semasa - yang membayangkan dia dikejar oleh LHDN selepas "dihasut" olehnya.

Selain itu, Azmin turut mendakwa Lim bertanggungjawab berhubung cukai baru terhadap perniagaan, yang disasarkan ke atas perniagaan Cina.

Menurut Lim, ketika menjadi menteri keangan, dia telah mengurangkan cukai terhadap perusahaan kecil dan sederhan (PKS) dari 18 peratus kepada 17 peratus dan meningkatkan ambang pendapatan daripada RM 500,000 kepada RM 600,000.

"Dalam erti kata lain, pendapatan bercukai RM600,000 pertama akan dikenakan cukai PKS sebanyak 17 peratus dan mana-mana pendapatan melebihi RM 600,000 akan dikenakan kadar cukai korporat sebanyak 24 peratus," katnaya.

Katanya lagi, kerajaan sekarang sebaliknya akan mengenakan cukai baru kepada rakyat dan perniagaan, seperti cukai durian runtuh pada tahun ini dan cukai jualan 10 peratus untuk pembelain dalam talian melibatkan barangan dari luar negara bernilai bawah RM500 bermula tahun depan.

Lim berkata Azmin juga mendakwa dia mensabotaj agensi milik bumputera.

"Sehingga kini dia gagal menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan liarnya.

"Memandangkan dia terus mengulangi fakta palsu ini tanpa menunjukkan sebarang bukti, saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya mengambil tindakan segera," katanya lagi.

Lim berkata dia juga menimbang untuk memfailkan saman terhadap Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang menurutnya turut membuat dakwaan serupa terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS