Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saingan antara gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN)dan Perikatan Nasional (PN) hampir sampai ke penghujung menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Kebijaksanaan,kesungguhan dalam memenangi hati pengundi akan berlabuh pada tengah malam 18 November.

Masing-masing sudah berusaha keras mengukuhkan cengkaman sekaligus cuba meyakinkan rakyat bahawa mereka perlu dipilih dan mereka yang terbaik.

Namun kuasa di tangan rakyat dan tiada siapa yang tahu kemahuan mereka.

Atas kertas masing masing melaungkan keyakinan untuk memperolehi majoriti dan membentuk kerajaan selepas 19 November tetapi ia hanyalah keinginan dan cita cita untuk berkuasa.

Rakyat meneliti apa "new deal" atau tawaran baru selepas mereka menganggap kerajaan pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob gagal sebelum ini. Betulkah begitu? Apakah rakyat bersetuju dengan kenyataan itu?

Rakyat ada jawapannya.

Muhyiddin selaku pengerusi PN yang dianggotai oleh sekutu utamanya, PAS dinamakan sebagai calon perdana menteri jika PN menang. Ismail Sabri pula adalah poster boy BN dan disebut sebagai calon perdana menteri , walaupun Ahad Zahid Hamidi adalah presiden Umno dan pengerusi BN.

Anwar selaku presiden PKR kekal sebagai satu-satunya calon perdana menteri mewakili PH.

Anwar Ibrahim

Anwar sering "dipermainkan" dan disindir sebagai “pm tepi”. Namun gelombang kali ini seolah-olah meyakinkan, Anwar bolah mencapai hasratnya.

Kalau kita teliti dan cuplik segala data umum (generic data) dan momentum menunjukkan PH sedang di hadapan. Keadaan yang hampir sama bagi PH ketika menghadapi PRU14 lalu.

Gelombang hebat dan kali ini aura Anwar Ibrahim seolah-olah tidak tertahan lagi. Pada PRU14, Anwar masih berada di penjara dan PH terpaksa meminjam aura Dr Mahathtir Mohamad untuk menumbangkan BN pada 2018.

Kemahuan pengundi kali ini dilihat semakin cenderung ke arah mengembalikan mandat kepada PH namun kemahuan pengundi pertama kali dan pengundi U18 yang berjumlah sekitar empat juta masih menjadi persoalan kepada semua parti yang bertanding.

Ahmad Zahid Hamidi

Cuma tiada mana-mana parti yang boleh menyatakan keyakinan yang amat jelas untuk membuktikan bahawa mereka akan melepasi 112 kerusi bagi membentuk kerajaan.

Jika kajian dan dapatan, rata rata mengakui PH jauh di depan meninggalkan PN dan BN.

Namun, jika jumlah pengundi yang keluar mengundi mencapai 85 peratus satu keadaan dijangka memihak kepada PH.

Jika ini berlaku segala dapatan dan kajian akan "ditimbus" dan PH bakal bergelar kerajaan sekali lagi.

Segala dapatan hanya di atas kertas dan jika diteliti kesungguhan Anwar mahu bergelar perdana menteri dengan siri jelajah dan kempen yang baik sambutannya, PH dikatakan paling ke depan saat ini.

Bagaimanapun, BN yang nampak sepi dari sudut kempennya tidak boleh dipandang ringan atau enteng. Begitu juga dengan PN yang turut menyimpan hasrat menjadi kerajaan sekali lagi.

Yang berbeza, cuma, Muhyiddin dann Ismail Sabri pernah diuji sebelum ini.

Kini giliran Anwar merebut dan memohon diberi peluang untuk diuji sebagai perdana menteri.

Selain sasaran ke Putrajaya, PH mempunyai harapan tinggi untuk menguburkan kerjaya politik bekas sekutu mereka yang dianggap pengkhianat dengan menikam belakang dan berpaling tadah pada tahun 2020.

Mereka itu, khususnya, Azmin Ali di Gombak, Zuraida Kamaruddin di Ampang, Kamaruddin Jaffar di Bandar Tun Razak, Saifuddin Abdullah dan beberapa yang lain.

Begitu juga BN yang mahu merampas kerusi yang dikhianati pemimpin mereka dengan menyeberang ke parti lawan, kusususnya Bersatu selepas BN tewas pada 2018.

Mereka ini termasuk Hamzah Zainuddin, Mas Ermieyati Samsuddin, Rosol Wahid dan Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pasti juga beberapa “hulubalang” Umno seperti Shahidan Kassim serta beberapa lain yang tidak dicalonkan juga akan menjadi buruan BN.

PAS pula sudah pasti tidak akan melupakan pemimpinnya seperti Che Abdullah Mat Nawi dan Mohd Khairuddin Aman Razali yang bertanding di bawah tiket BN pada PRU15 kali ini.

Apapun, PRU kali ini cukup bermakna dan benar-benar mencuri tumpuan.


DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati politik dan juga penasihat media, menteri besar Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS