Enam tahun lalu, sekumpulan aktivis sedang giat duduk bincang dan membuat persiapan akhir untuk mengajak sekumpulan besar rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya menghadiri Himpunan Bersih 5 di ibu kota.
Tema protes itu telahpun ditetapkan lebih sebulan sebelum itu: Satukan tenaga, Malaysia baru.
Tema ini digunakan lebih sebulan sebelum itu dengan konvoi Bersih di setiap pelusuk negara, khususnya di Semenanjung, serta Sabah dan Sarawak.
Pada 18hb November, sewaktu hampir keseluruhan ahli jawatankuasa pemandu serta sekretariat Bersih berjumpa di pejabat Bersih bertempat di Petaling Jaya, kami didatangi pegawai dari Bukit Aman.
Pejabat Bersih diserbu sehari sebelum Himpunan Bersih 5 dijadualkan berlangsung hari keesokannya.
Laptop dan telefon bimbit dirampas. Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan saya, Mandeep Singh, Pengurus Sekretariat, turut dicekup.
Niat pimpinan negara jelas. Guna polis untuk hentikan himpunan Bersih 5 yang mendesak perubahan rejim yang diketuai oleh Najib Razak.
Walaupun Najib dan Zahid Hamidi yang pada waktu itu merupakan menteri dalam negeri ingin menakutkan rakyat, syukur himpunan Bersih 5 tetap berjalan bermula di Masjid Negara dan Bangsar seterusnya berakhir di hadapan KLCC sebab Dataran Merdeka disekat sekali lagi.
Tanpa diketahui, Maria Chin ditahan tanpa bicara di bawah Akta Sosma. Mandeep bebas pada Ahad, 20 November 2016.
Beberapa lagi ahli politik seperti Anthony Loke dan Tian Chua ditangkap. Perakam sejarah Hishamuddin Rais juga ditahan.
Meskipun begitu, ibu kota Kuala Lumpur dibanjiri warna kuning dan himpunan ini dijalankan dengan aman walaupun rakyat Malaysia sedar bahawa jalan ke arah menjatuhkan Najib Razak dan rejim United Malays National Organisation bukan mudah kerana belum pernah terjadi.
Waima demikian, kita memegang kepada harapan, kita dipenuhi keyakinan, kita percaya bahawa pembaharuan bukan mustahil. Kita beriltizam bahawa satu hari nanti, rejim anti demokrasi akan jatuh.
Manusia yang pada ketika itu belum percaya sepenuhnya terhadap himpunan jalan raya pun turun ke jalan raya. Nama dia Tun Dr Mahathir Mohamad.
Muhyiddin Yassin berdiri di sebelah Tun Mahathir, berucap di atas trak pacuan empat roda dengan memakai baju kuning Bersih 5 dengan tema: Satukan Tenaga, Malaysia Baharu.
Kemudian, sejarah tercipta dan harapan rakyat menjadi realiti pada awal pagi 10hb Mei 2018, apabila Hashim Abdullah, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, mengumumkan Pakatan Harapan berjaya melepasi angka emas 112 kerusi parlimen untuk membentuk kerajaan.
Cukai GST dihapuskan, harga internet diturunkan, konsesi tol dirunding semula yang membolehkan harga dikurangkan.
Harga barang asas distabilkan, Tabung Haji mulai pulih. Tahun ketiga dan tahun ini sepatutnya menjadi waktu hasrat rakyat mula direalisasikan tetapi berlaku tragedi pengkhianatan Langkah Sheraton.
Namun, kejayaan paling besar hasil kebersamaan kita sebagai pemegang taruh negara ini untuk turun ke jalan raya pada 19 November 2016, dan kemudian turun sekali lagi apabila jari kita berdakwat kekal pada 9 Mei 2018 kemudian mencipta sejarah apabila Najib Razak disahkan pencuri dan masuk penjara pada 23 Ogos 2022.
Hari Najib Razak masuk penjara adalah bukti paling kukuh betapa besarnya kuasa rakyat dalam peti undi secara kolektif.
Kalau kita tidak mengundi pada 9 Mei 2018, Najib Razak masih perdana menteri hari ini. Rosmah Mansor mungkin pakai berlian sebesar buah kelapa di atas kepalanya. Rambutnya sudah pasti makin besar. Dia mungkin berbisik kepada Najib? "Can I advise you something? We should steal more, sayang." Mungkin.
Ramai tertanya mengapa Bersih seolah-olah berdiam diri selepas Langkah Sheraton dan krisis politik yang menyusul. Mengapa tiada Bersih 6 atau seumpamanya.
Kami pun tertanya-tanya. Namun, yang boleh kita lakukan dalam sehari dua ini adalah mengimbau kembali detik 19 November 2016 apabila rakyat Malaysia membuat keputusan kolektif untuk masa depan negara supaya Najib Razak dipenjarakan.
Kita mampu ulang sejarah dan mencatat sejarah baru pada 19 November ini untuk pastikan Najib Razak tidak berjaya dapat kad percuma keluar penjara.
Negara ini harus bergerak ke depan dari Najib dan Rosmah dan mula pulih akibat kerasukan mereka.
Dan kita harus mula bekerja untuk Malaysia pada 19 November ini, keluar beramai-ramai, jadikan Sabtu ini sebagai Bersih 6 menerusi peti undi. 'Tanamkan' Najib dan pencuri seumpamanya supaya Malaysia boleh membangun.
Kita pernah lakukannya pada 9 Mei 2018, dan #KitaBoleh lakukannya sekali lagi. Rakyat Malaysia, akhirnya Malaysia ini milik kita semua, milik anda dan saya. Ibu pertiwi kita sedang menanti kita di peti undi. Hanya anda mampu lakukannya.
MANDEEP SINGH, JAY JAY DENIS ialah bekas ahli jawatankuasa Bersih 2.0.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.