Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ikhtiar Rashid sandang kerusi Batu Pahat penggal kedua

Batu Pahat merupakan kerusi parlimen yang terletak di wilayah tengah Johor.

Sejak 1995 dan selama enam penggal berturut-turut, tiada ahli parlimen yang berjaya terpilih untuk penggal kedua, sama ada kerana tidak dicalonkan semula atau kalah di peti undi.

Penyandang kerusi parlimen berkenaan, Rashid Hasnon berharap keadaan itu berubah kali ini, selepas dia melompat parti dari PKR ke Bersatu dan Perikatan Nasional susulan Langkah Sheraton.

Batu Pahat merupakan kerusi campuran dengan 52 peratus pengundi adalah Melayu , Cina (45 peratus), India (1.4 peratus), dan lain-lain kaum 1.6 (peratus).

Pada PRU13, BN tewas kepada PKR sehinggalah pilihan raya seterusnya.

Kekuatan PKR dan PH di kerusi itu ialah di Penggaram - kerusi DUN di kawasan bandar dengan majoriti pengundi Cina daripada keseluruhan 70,000 pengundi.

Lebih 10,000 lagi adalah di DUN Batu Pahat - Senggarang dan Rengit - jika digabungkan.

Dan seperti kebanyakan kawasan bandar dan kawasan bukan Melayu, pengundi di Penggaram tidak berpuas hati dengan pemimpin yang melompat parti.

Pada pilihan raya negeri Johor, pengundi di Penggaram mengundi 53.7 peratus kepada PH, 24.3 peratus untuk BN, dan 15.5 peratus untuk PN - dengan 6.4 peratus lagi undi kepada calon bebas.

Mungkin menyedari populariti PN tidak menyerlah di kerusi bandar itu, jadual kempen Rashid lebih tertumpu kepada Senggarang dan Rengit ketika Malaysiakini melawat kawasan itu baru-baru ini.

Di situ, kempennya tidak memfokuskan ceramah besar, sebaliknya ceramah kelompok di pusat daerah mengundi dengan dihadiri puluhan orang yang kebanyakan adalah penyokong, petugas parti, rakan serta ahli keluarga mereka.

Selepas berucap, Rashid akan menyantuni dan beramah mesra dengan penyokongnya, salah satu pendekatan yang digunakan oleh pemimpin politik di kawasan separa bandar dan luar bandar.

Program lain yang dihadirinya termasuk sesi townhall di Rengit, di mana Rashid memberi ruang kepada orang ramai untuk bertanya soalan dan mengemukakan aduan. Pendekatan turun ke bawah ini mungkin memberi kelebihan kepada Rashid di dua DUN ini.

Rashid membuka ruang untuk pertanyaan dan aduan dalam satu program bersama masyarakat Cina di Rengit.

Walaupun BN menang di Senggarang dan Rengit pada pilihan raya negeri Mac lalu, undi Melayu di kedua-dua kawasan itu mungkin beralih kepada PN Sabtu ini.

Beberapa pengundi Melayu memberitahu Malaysiakini mereka berpuas hati dengan prestasi Rashid sejak empat tahun lalu. Mereka bahkan dilihat tidak kisah dengan tindakan Rashid bertukar parti pada 2020.

Aliff Zikri Zamri, seorang pengundi Rengit berusia 28 tahun, mengakui pengundi di situ cenderung mengundi BN tetapi kali ini situasinya berbeza.

Katanya, pengundi kini bukan semata-mata mengundi mengikut parti, tetapi akan memilih calon yang memahami kehendak rakyat dan menyalur peruntukan untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Kita tidak boleh cakap dia semua jahat (kerana lompat parti), dia baik, semua baik. Kita manusia biasa mesti ada kurang lebih.

“Untuk saya kalau dia lompat parti pun dulu, sekarang dah tak boleh melompat (sebab undang-undang sudah dipinda),” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, penjaja berusia 41 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Shah Azman mengadu Adun Senggarang dari BN, Mohd Yusla Ismail jarang turun padang sejak memenangi kerusi itu pada Mac lalu.

“Kita pergi sokong dia, dia dah duduk atas tak ada jumpa kita. Ada apa (masalah) pun susah nak cari (untuk minta pertolongan).

“Minta dia (Rashid) menang,” kata Shah Azman sambil memuji Rashid kerana sering menghadiri kenduri orang kampung apabila dijemput.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS