Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Itu surat kelulusan berunding, bukan lulus projek RM'

Surat bertarikh 27 Okt yang didedahkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli semalam bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya merupakan kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata selepas mendapat kelulusan secara dasar untuk berunding, Kasa selaku kementerian yang bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada Kementerian Kewangan.

“Kasa akan membuat perbincangan tentang apa yang diperlukan dan pada masa sama akan membuat penilaian sama ada syarikat itu diluluskan atau tidak yang melibatkan tahap kewangan, teknikal dan sebagainya, sekurang-kurangnya mengambil masa dua hingga tiga bulan.

“Bagi saya, saya percaya ini adalah isu yang dipolitikkan kerana perkara itu clear (jelas), tiada surat setuju terima (LOA) dan surat niat (LOI) (diberikan). Hanya ada kelulusan untuk syarikat tersebut berunding dengan Kasa,” katanya kepada pemberita di Kuala Selangor, malam tadi.

Justeru, dia menasihati Rafizi yang juga calon PH di Parlimen Pandan untuk terus melaporkan dahulu sebarang salah laku dalam kerajaan kepada pihak berkuasa dan bukannya membuat pendedahan seperti itu.

“Pergilah jumpa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak-pihak yang berkuasa,” katanya sambil menambah adalah lebih baik para pemimpin membuat pengumuman apa yang mahu dibuat untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.

“Itu yang rakyat nak dengar. Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya pun ramai kawan-kawan yang letih dengan politik dan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik,” katanya.

Semalam, Rafizi mendedahkan satu surat berkenaan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Okt.

Dia mendakwa projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS