Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita dalam idah ‘harus’ keluar mengundi - Mufti Perak
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 11:04 AM
Dikemaskini: 3:23 AM

Mufti Perak, Wan Zahidi Wan Teh berpandangan “harus” hukumnya bagi wanita dalam tempoh idah keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini dengan beberapa syarat yang wajib dipatuhi.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaikkan di Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak, katanya, ini berdasarkan kepada kaedah fiqh yang menyebut "suatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib".

"Di samping itu ia termasuk dalam kategori wajib mudayyaq iaitu kewajipan yang mesti dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan oleh kerana tempoh mengundi adalah terhad dengan tempoh masa yang ditentukan dan tidak boleh ditangguhkan pada masa lain.

"Maka Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) berpandangan harus hukumnya bagi wanita yang dalam idah keluar mengundi dengan mematuhi beberapa dhowabit (parameter)," katanya.

Sebelum ini, pada 7 November lalu, Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin berkata wanita yang menjadi calon pada pilihan raya umum (PRU) tetapi berada dalam tempoh idah susulan kematian suami, tidak boleh keluar untuk berkempen.

Katanya, mereka wajib berada dalam idah selama empat bulan 10 hari.

Gambar Hiasan

Asri berkata, keluar untuk kempen pilihan raya bukan keperluan hidup, yang mana jika seseorang wanita itu tidak keluar maka hidupnya terjejas dan hidup seseorang tidak bergantung kepada hal itu, kerana jika dia tidak menyertai berkempen pilihan raya pun tidak menjejaskan keperluan asas hidupnya.

Wan Zahidi berkata proses mengundi sempena PRU15 juga dianggap sebagai suatu kewajipan yang perlu dilakukan sendiri tanpa boleh diwakili pihak lain.

Katanya, antara paremter yang harus dipatuhi bagi wanita dalam idah yang keluar mengundi adalah menjaga penampilan dan adab dalam berkabung; menjauhkan perkara yang mengundang fitnah; mengelakkan berhias dengan memakai gelang atau rantai; tidak memakai wangian dan menghias wajah secara berlebihan.

Gambar Hiasan

Selain itu, wanita berkenaan dikehendaki keluar rumah untuk menyelesaikan segala keperluan urusannya itu (mengundi) pada kadar segera di siang hari dan tidak sengaja melewat-lewatkannya manakala pada sebelah malam hendaklah berada dan bermalam di rumahnya.

Hukum menipu pada PRU

Sementara itu dalam hantaran berasingan Wan Zahidi juga mengingatkan umat Islam tentang “hukum menipu pada pilihan raya”.

Katanya, umat Islam tidak seharusnya mengasingkan diri daripada sistem pengundian sama ada mereka suka atau tidak kerana proses itu adalah mekanisma tunggal ynag menentukan siapa akan menjadi tampuk pemerintahan peneraju negara atau negeri.

“Jabatan Mufti Negeri Perak mengingatkan agar sepanjang tempoh berkempen dan semasa proses pembuangan undi, umat Islam dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada perbuatan khianat dan menipu yang dilarang agama.

Gambar Hiasan

“Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar dan merupakan satu keaiban yang keji.

“Antara contoh penipuan itu, katanya, termasuklah menjanjikan manifesto yang sukar dilakasnakan, memfitnah pihak lain, semata-mata untuk meraih sokongan, serta menyebarkan risalah-risalah palsu demi mencipta imeja buruk pihak lawan kepada orang lain,” katanya.

Wan Zahidi berkata sebarang unsur penipuan dan ketidaktelusan mesti dielakkan agar proses pilihan raya benar-benar menatijahkan keputusan yang benar tanpa sebarang pertikaian atau penyesalan di kemudian hari.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS