Paling Popular
Terkini

Kempen pilihan raya umum (PRU) ke-15 kini memasuki fasa terakhir dengan untuk semua calon berkempen dan memaksimumkan usaha ketika waktu berbaki tidak sampai 48 jam saja lagi.

Dengan baki yang tertinggal itu, lazimnya semua melipatgandakan usaha mereka namun suasana sebegitu pada umumnya tidak kelihatan di Terengganu.

Sedari hari penamaan calon pada 5 Nov lalu, sebahagian besar calon beralih ke kempen melalui alam maya seperti platform media sosial yang merupakan pentas baru persaingan politik.

Aplikasi TikTok dan Facebook antara medium yang digunakan calon yang bertanding khususnya BN dan PN.

Ia sekali gus memperlihatkan strategi kempen PRU kali ini tidak lagi terhad kepada sesi bersua muka dengan orang ramai.

Bagaimanapun pengecualian diberi kepada calon yang diturunkan Gerakan Tanah Air (GTA) apabila keberadaan mereka tidak ketahui sesiapa, baik pihak media mahupun parti lawan.

Untuk sesi ceramah perdana isu semasa pula, PAS kekal mendahuli parti-parti lain apabila boleh dikatakan setiap malam akan ada calonnya bersyarah di pusat daerah mengundi masing-masing.

Juara dalam ‘perang’ bendera

Sesuai dengan perkembangan semasa, kebanyakan ceramah juga disiarkan secara langsung, sekali gus membolehkan ahli dan penyokong PAS dan PN mengikuti program berkenaan dari mana-mana lokasi saja.

Justeru, jumlah kehadiran penyokong tidak menjadi masalah besar buat parti itu, lebih-lebih lagi ketika Terengganu memasuki musim tengkujuh dengan dikebanyakan tempat dilanda hujan tidak tentu masa.

Dari segi perang bendera pula, suasana di Terengganu juga berbeza berbanding 2018 apabila kemeriahannya jelas terasa sebaik sahaja melangkah kaki ke negeri yang terkenal dengan keindahan pulaunya itu.

Kali ini suasana agak suram, malah sesekali terasa seolah-olah tiada PRU di sini.

Namun, PAS kekal menjadi juara dalam medan perang bendera di negeri yang dikuasanya itu.

Kehadiran bendera parti ini juga boleh dijelaskan dengan dialog filem terkenal P Ramlee bertajuk Nujum Pak Belalang: "Satu, banyak-banyak; dua, sikit-sikit; tiga, jarang-jarang; empat, kadang-kadang."

Itulah suasana perang bendera di Terengganu. Satu tentunya mewakilI bendera PAS, dua BN, tiga PH dan empat GTA.

Manakala dari segi persaingan parti yang bertanding pula, meskipun Pakatan Harapan (PH) dan GTA turut meletakkan calon masing-masing di semua lapan kerusi parlimen Terengganu, namun persaingan sebenar hanya melibatkan PN dan BN.

Ia berlaku mungkin disebabkan kemenangan besar PAS Terengganu pada PRU ke-14 lalu.

Bagi menebus kekalahan lalu, BN menyasarkan empat kerusi boleh menang iaitu Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Pada masa sama Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, juga yakin mereka mampu memberikan kejutan kali ini biarpun berdepan saingan sengit termasuk daripada calon heavyweight.

BN dijangka dapat mempertahankan kerusi Besut dan kembali menawan Kemaman yang kini disifatkan sebagai kawasan putih parti itu.

Kerusi parlimen Besut yang merupakan kubu kuat bekas penyandangnya, Idris Jusoh.

Idris Jusoh

Meskipun pencalonan Nawi Mohamad bagi kerusi Besut itu didakwa ditolak pengundi tempatan pada peringkat awal, kini diyakini keadaan berubah dan BN akan mengekalkannya pada Sabtu nanti.

Jangkaan itu dibuat kerana kebanyakan pengundi masih dibayangi kepimpinan Idris.

Idris tidak bertanding kali ini dengan alasan mahu memberikan peluang kepada muka baru atau calon muda di sana.

Namun, difahamkan ia bukanlah seperti apa yang dinyatakan sebaliknya pengunduran Idris dibuat atas permintaan parti.

BN mempertaruhkan Ahmad Nawi yang juga ADUN Hulu Besut dan dia akan menentang calon PN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) dan Abd Rahman @ Abd Aziz Abas (PH).

Bertanding lambang PAS

Pada PRU ke-14, kerusi parlimen Besut dimenangi Idris yang bertanding dengan undi sebanyak 34,335 menewaskan calon PAS, Riduan Mohamad Nor dan juga Wan Nazari.

Sementara di Kemaman, pengaruh kuat bekas menteri besar, Ahmad Said, dilihat memberikan laluan getir buat calon PAS.

Perkara itu turut diakui Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman, selain hakikat kemenangan agak kecil diperoleh parti itu pada 2018 lalu iaitu dengan majoriti 2,163 undi.

Ia menjadikan penyandangnya Che Alian Hamid perlu berkerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi tersebut kekal milik PAS.

Pada 2018, Che Alias meraih undi sebanyak 39,878 menewaskan calon BN, Ahmad Shabery Cheek, yang mendapat 37,715 undi manakala calon PKR Mohd Huzaifah Md Suhaimi memperoleh 12,911 undi.

Persaingan sengit juga dilihat di Hulu Terengganu apabila BN mempertaruhkan Rozi Mamat untuk berdepan dengan Rosol Wahid yang juga penyandang kerusi parlimen tersebut.

Rosol memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN dan kali ini menjadi pertaruhan PN yang bertanding menggunakan lambang PAS.

Parlimen itu juga boleh dikatakan kawasan ‘kelabu’ buat PN dan BN apabila difahamkan kebanyakan pengundi BN kini berada dalam dilema sama ada mahu mengekalkan Rosol atau menolaknya kerana bukan lagi calon BN.

Pada PRU lalu Rosol mengalahkan calon PAS, Muhyiddin Abdul Rashid, dan calon Bersatu, Razali Idris, dengan dengan majoriti 2,868 undi.

Rosol meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada 14 Dis 2018.

Penampilan Rozi adalah ujian pertama buat bekas exco Terengganu itu di pentas parlimen dan pemilihannya sebagai calon dianggap percaturan tepat bagi memastikan kemenangan BN.

Fikiran pengundi lebih bebas

Rozi yang juga Adun Telemong dan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu didakwa mendapat sokongan padu daripada ahli dan penyokong BN.

Sementara itu kerusi parlimen Kuala Nerus juga memperlihatkan persaingan sengit di antara PN dan BN sekali gus menjadikannya kawasan kelabu buat kedua-dua parti.

Walaupun sebelum ini penyandang, Mohd Khairuddin Aman Razali, menang dengan majoriti besar atas tiket PAS, iklim semasa di situ kini berbeza kerana pengundi muda dan pengundi pertama kali dilihat bebas daripada dipengaruhi oleh doktrin parti atau hubungan kekeluargaan.

Justeru, persaingan di Kuala Nerus membentuk pertarungan terbuka di antara PAS dan BN.

Keberadaan rangkaian pelbagai institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan institut pendidikan guru serta percambahan perindustrian kecil menjadikan Kuala Nerus kini hampir didominasi oleh orang luar yang berhijrah ke situ.

Ia sekali gus mengubah pola pemikiran pengundi yang asasnya sudah lebih bebas.

Pada PRU ke-15, jumlah pengundi muda dan pengundi pertama kali di Kuala Nerus mencatatkan jumlah yang agak tinggi iaitu 32 peratus daripada 105,952 pengundi keseluruhan.

Mereka dijangka mencetuskan keputusan tidak dijangka pada Sabtu ini.

PAS mula menawan kerusi Kuala Nerus daripada BN pada PRU ke-13 apabila Khairuddin mengatasi calon BN dengan perbezaan 610 undi saja. Namun keadaan berubah dan semakin meyakinkan buat PAS apabila dia mengekalkan kerusi tersebut pada PRU ke-14 dengan majoriti 8,447 undi.

Kerusi Kuala Nerus merupakan antara kawasan tumpuan pada PRU kali ini kerana Khairuddin akan ditentang oleh calon PAS, Dr Alias Razak, yang juga exco kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar negeri.

Dua lagi calon yang bertanding merebut kerusi tersebut ialah Suhaimi Hashim (PH) dan Azaha Wahid (Pejuang).

Sementara di Marang, Presiden PAS dan juga penyandang kerusi parlimen itu, Abdul Hadi Awang, dijangka akan mudah mengekalkan kemenangannya untuk penggal seterusnya.

Begitu juga dengan Kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang disandang Ahmad Amzad Hashim.  

Di Setiu dan Dungun pula dijangka PAS turut akan mempertahankan kerusi tersebut berdasarkan majoriti kemenangan parti itu pada PRU lalu.

Bagaimanapun di Setiu BN sebelum ini dilihat masih mempunyai peluang jika menampilkan calon lebih muda di kerusi itu.

Bagi kerusi-kerusi yang ditandingi PH dan Pejuang pula tidak memberikan pengaruh yang besar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS