Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tian Chua tandatangan SD sokong Anwar sebagai PM
Diterbitkan:  Nov 16, 2022 5:43 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Calon bebas bagi Batu, Tian Chua berkata dia telah menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyatakan bahawa dia menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Ini, katanya, sebagai respons dakwaan penyandang parlimen Batu P Prabakaran yang menuduh pencalonan Chua adalah percubaan untuk menggagalkan usaha Anwar bagi jawatan perdana menteri.

Pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Chua, yang ditemani peguam Gurmukh Singh, berkata akuan berkanun itu ditandatangani pada 26 Okt - sebelas hari sebelum hari penamaan calon.

Chua mendakwa Anwar menerima salinan akuan berkanun sehari selepas ia dibuat.

"Pengundi Batu mahu melihat Anwar memimpin kerajaan tetapi juga mahu seseorang yang layak mewakili mereka, sebab itu saya bertanding," kata Chua.

Chua memegang kerusi Batu selama dua penggal antara 2008 dan 2018.

Selepas hilang kelayakan sebagai calon semasa pilihan raya umum 2018, Chua menyokong Prabakaran, yang ketika itu bertanding sebagai calon bebas.

Prabakaran beroleh kemenangan dan seterusnya menyertai PKR.

Semasa pemilihan kepimpinan PKR awal tahun ini, Prabakaran menewaskan Chua untuk jawatan ketua bahagian PKR Batu.

Sementara itu, Chua berkata dia akan membuat laporan polis terhadap Prabakaran mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Ini adalah atas dakwaan Prabakaran pada Isnin bahawa Chua bertanding kerusi Batu sebagai calon bebas untuk mengurangkan peluang Pakatan Harapan (PH) untuk menang dan sekali gus menyukarkan Anwar menjadi perdana menteri.

Prabakaran membuat kenyataan itu sebagai reaksi terhadap dakwaan Chua sebelum ini bahawa "satu undi untuk (Tian Chua) adalah undi untuk Pakatan Harapan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS