Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaki digilis tayar kereta ketika kempen
Diterbitkan:  Nov 16, 2022 4:48 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Calon Pakatan Harapan (PH) di Sepang Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu cedera akibat digilis tayar kereta sewaktu berkempen semalam.

Katanya ia berlaku ketika dia turun padang bertemu pengundi di sebuah pasar.

“Saya dinasihatkan untuk berehat tapi saya masih mahu gagahkan diri dan bertemu rakyat Sepang. 

“Doakan saya tetap terus kuat untuk kita!” tulis ketua Wanita Amanah itu di Twitter.

Dia turut berkongsi gambar tunduk memegang kakinya seolah-olah menahan sakit.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Aiman Athirah menjelaskan bahawa dia tidak mengalami kecederaan yang serius.

Katanya, meskipun jarinya kemungkinan mengalami kecederaan dalaman, dia tetap kuat meneruskan kempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.

“Saya cuma rasa ada pecah darah di bahagian jari. Tapi saya punya kaki tak ada masalah, boleh jalan lagi.

“Setakat ini tak bengkak, tak patah, dan boleh berjalan seperti biasa, cuma ada sedikit sakitlah apabila berjalan tu,” katanya.

Sudah memaafkan

Menurut Aiman Athirah, kejadian pada pukul 5 petang itu dipercayai tidak sengaja dilakukan oleh salah seorang peniaga pasar malam di Olak Lempit.

Katanya, peniaga itu tergesa-gesa untuk ke tempatnya berniaga akibat terlambat membuka kedai yang menyebabkan memandu kereta dilaluan yang dikhaskan untuk pejalan kaki sahaja di kawasan pasar itu.

Bagaimanapun, Aiman Athirah turut menjelaskan bahawa dia sudah memaafkan peniaga itu.

“Saya tak marah atau apa, saya maafkan orang ini dan saya tak ada apa nak buat sebab percaya itu takdir Allah Taala.

“Saya fikir keadaan tekanan hidup rakyat pada masa kini, mungkin para peniaga tertekan dengan kos yang tinggi.

“Lepas itu, jualan kadang-kadang tidak laku dan kemudian masalah-masalah sosial, dan ekonomi yang lain menyebabkan mereka tidak dapat fokus dengan apa yang mereka lakukan dan apa yang ada di hadapan mereka,” ujarnya lagi.

Aiman Athirah berdepan pertembungan lapan penjuru dengan menteri Perikatan Nasional (PN) Rina Harun.

Rina Harun

Calon lain ialah Anuar Basiran (BN), Che Asmah Ibrahim (Pejuang),  R Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Daud Leong (Parti Utama Rakyat), M Muneswaran (bebas), Shahrul Amri Mat Sari (bebas)

Sepang mempunyai 168,039 pengundi.

Dalam pilihan raya umum lalu, parlimen itu dimenangi oleh calon PH daripada Amanah

Mohamed Hanipa Maidin dengan majoriti 18,705 dalam pertembungan tiga penjuru dengan PAS dan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS