Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penahanan tidak sah: Imigresen diperintah bayar RM50,000 pada rakyat S'pura

Seorang jurutera warga Singapura yang telah bersara mendapat pampasan RM50,000 ihsan daripada Jabatan Imigresen Malaysia berhubung penahanannya selama lapan hari yang melanggar undang-undang pada empat tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini memerintahkan pihak imigresen Malaysia memberi pampasan kepada Wong Chun Khuen berhubung penahanannya oleh imigresen Johor pada 2018.

Peguam Arun Kasi yang mewakili lelaki berusia 64 tahun itu mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi Malaysiakini.

Hakim Amarjeet Singh menilai dan memberikan ganti rugi RM50,000 dan kos RM5,000 kepada Wong, kata peguam itu.

Ketika dihubungi, wakil undang-undang imigresen, peguam persekutuan Sallehuddin Md Ali, turut mengesahkan keputusan prosiding penilaian ganti rugi itu hari ini.

“Kerosakan telah diberikan pampasan RM50,000 dengan faedah lima peratus perlu dibayar dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian, serta kos RM5,000 (yang perlu dibayar oleh Jabatan Imigresen kepada Wong),” kata Sallehuddin.

Katanya, pihak berkuasa tidak merayu keputusan mahkamah terdahulu pada 12 Sept, yang memutuskan memihak kepada Wong dalam tindakan undang-undang itu.

Penilaian kerosakan dibuat susulan keputusan mahkamah pada 12 Sept.

Mahkamah Tinggi ketika itu membenarkan saman Wong terhadap ketua pengarah Jabatan Imigresen, dengan memberikan pengisytiharan bahawa dia telah ditahan secara tidak sah dalam tempoh 8 hari dari 28 Mac hingga 4 April 2018.

Kemenangan pertama Mei tahun lalu

Ini merupakan kemenangan kedua di mahkamah bagi bapa kepada satu anak itu dalam cabaran undang-undang terhadap penahanan oleh Jabatan Imigresen Johor pada 2018.

Kemenangan pertama adalah pada 5 Mei tahun lalu, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan bahawa penahanan Wong oleh jabatan itu dari 14 hingga 26 Mac 2018, adalah tidak sah.

Ini kerana mahkamah mendapati Wong tidak dihadapkan ke majistret dalam tempoh 14 hari selepas dia ditangkap.

Dia ditahan oleh pegawai imigresen bersama beberapa warga asing lain ketika serbuan di rumahnya di Johor Bahru kira-kira jam 11.05 malam pada 28 Feb 2018.

Dia terus dibawa ke Pusat Tahanan Setia Tropika pada 1 Mac 2018 dan dua hari selepas itu, dia dihantar ke Pusat Tahanan Pekan Nanas.

Wong kemudian dihadapkan ke mahkamah majistret pada 26 Mac tahun sama dan dia mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen. Wong kemudian didenda RM30,000 dan dia membayarnya.

Bagaimanapun, dia tidak dibebaskan serta-merta selepas dia membayar denda. Malah, Wong ditahan lapan hari lagi di Penjara Kluang dan kemudian di depoh Imigresen Pekan Nanas sebelum dibebaskan pada 4 April 2018.

Wong memfailkan tindakan sivil kedua pada 27 Jan tahun ini, memohon perintah pengisytiharan bahawa pihak berkuasa Imigresen Malaysia telah menahannya secara tidak sah dari 28 Mac hingga 4 April 2018.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS