Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir cadang tukar 'yang berhormat' kepada 'yang berkhidmat'
Diterbitkan:  Nov 16, 2022 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Gelaran 'yang berhormat' (YB) yang sering digunakan bagi merujuk kepada wakil rakyat di negara ini, wajar ditukarkan kepada 'yang berkhidmat', kata Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Menurutnya istilah itu lebih sesuai dengan situasi semasa dan panggilan 'yang berkhidmat' dilihat lebih tepat bagi menggambarkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh wakil-wakil rakyat.

"Panggilan 'yang berkhidmat' itu lebih tepat bagi menggambarkan rekod perkhidmatan setiap wakil rakyat.

"Jika perkara itu dilaksanakan, orang ramai juga boleh menjustifikasikan seseorang wakil rakyat tersebut dengan panggilan 'yang berkhidmat' yang disandang individu berkenaan," katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan dan pelajar Kolej Mara Kuala Nerang, Padang Terap, hari ini.

Mahdzir yang juga penyandang dan calon BN bagi Parlimen Padang Terap itu berkata, penggunaan gelaran itu juga akan menjadikan wakil rakyat lebih dekat dihati rakyat.

"‘Yang berkhidmat’ ini perlu sedar bahawa mereka memiliki dua tugas untuk dilaksanakan iaitu membuat dasar di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) serta memberi khidmat kepada rakyat.

"Jadi dalam tempoh lima tahun itu, rakyat bolehlah menilai sama ada 'yang berkhidmat' itu benar-benar berkhidmat di kawasan mereka," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS