Kawasan Kubang Pasu pernah - dan masih - amat sinonim dengan nama Dr Mahathir Mohamad yang menerajui negara sebagai perdana menteri sebanyak dua kali dengan platform politik berbeza.
Selepas tewas dalam pilihan raya umum 1969 di Parlimen Alor Setar Selatan, tokoh negarawan itu kemudian melakar kemenangan tanpa bertanding di kawasan parlimen Kubang Pasu pada 1974, sekali gus dia membina kubu kukuh di situ sehingga mewariskannya sebagai zon selesa kepada BN.
Mahathir kekal menjadi wakil rakyat bagi Kubang Pasu sehinggalah pada penggal parlimen 1999 apabila kawasan terbabit 'diwariskan' kepada salah seorang setiausahanya, Mohd Johari Baharum mulai 2004.
Johari kemudiannya menjadikan parlimen Kubang Pasu seakan-akan deposit tetap buat Umno-BN selama tiga penggal sebelum dia ditewaskan oleh Amiruddin Hamzah pada 2018.
Bekas Adun PAS itu bertanding di Kubang Pasu sebagai ahli Bersatu dalam gabungan Pakatan Harapan (PH). Sekali lagi Mahathir berperanan di situ walaupun secara tidak langsung apabila dia adalah pengerusi PH dan Bersatu.
Kegagalan Johari mempertahankan Kubang Pasu untuk BN itu dilihat bukanlah kerana semata-mata pengaruh Amiruddin, sebaliknya keberadaan Mahathir sebagai watak utama pembangkang.
Ketika itu Mahathir dan PH berjaya yang mencetuskan gelombang yang membawa kepada kejatuhan BN selepas berkuasa lebih 60 tahun dengan skandal 1MDB memberi kesan yang sangat besar kepada pengundi.
Mahathir sendiri muncul kembali sebagai ahli parlimen Langkawi sekali gus dilantik menjadi perdana menteri buat kali kedua.
Kini dia sekali lagi akan bertanding di pulau yang terkenal sebagai pusat pelancongan berkenaan atas tiket Pejuang. Parti itu bergerak tanpa bergabung dengan parti-parti besar lain.
Dalam keadaan begitu kerusi parlimen Kubang Pasu dilihat berada pada 'titik tengah' dengan peluang kembali terbuka. Kawasan tersebut menjadi parameter kepada kebergantungan orang politik kepada pengaruh Mahathir.
Situasi yang berbeza pada PRU ke-15 ini juga bakal memberi jawapan sama ada Amiruddin - yang tampil sebagai calon Pejuang - masih mampu bertahan atau sebaliknya.
Pemerhatian Malaysiakini mendapati pengaruh Mahathir di kawasan Kubang Pasu masih ada walaupun dalam segmen tersendiri, semakin mengecil dan terbahagi kepada dua kelompok pula.
Pertama, golongan penyokong Pejuang iaitu mereka yang masih mendukung Mahathir, manakala kumpulan kedua ialah golongan yang mengenali serta masih setia di belakang Amiruddin sebagai calon wakil rakyat mereka.
Malaysiakini bekesempatan menemu bual beberapa calon yang bertanding di Kubang Pasu untuk melihat persepsi mereka khususnya dalam konteks pengaruh Mahathir itu sendiri.
Dr M bukan satu-satunya penentu - PH
Calon PH Aizuddin Ariffin berpendapat, dari sisi politik personaliti, tidak dinafikan bahawa kawasan itu pernah menjadi kubu kuat pengaruh Mahathir.
Namun, katanya, perkara itu bukanlah satu-satunya penentu kemenangan kepada mana-mana pihak pada PRU kali ini.
"Tetapi saya lebih melihat faktor penentu kemenangan ini adalah pengundi atas pagar. Dalam keadaan sekarang mereka masih memerhati, melihat, belum buat keputusan dan kita pun nampak memang ada (pengundi atas pagar begitu).
"Bagi saya penentu kemenangan itu bukanlah personaliti macam Dr Mahathir. Sebab kalau orang Kubang Pasu nakkan perubahan, ia bukan lagi soal Mahathir.
"Peratusan (pengaruh Mahathir) itu ada dan perlu diambil kira tapi saya rasa lebih kepada sama ada orang nak buat perubahan ataupun tidak.
"Saya nampak sepanjang berkempen di sini ada mood untuk berubah daripada sedia ada kepada lebih baik, insya-Allah.
"Tetapi saya tak nak ambil itu sebagai kelebihan sebaliknya mahu kekal fokus untuk bertemu sebanyak mungkin pengundi, selain tetap bekerja keras," katanya.
Jarum jam terhenti?
Ditanya mengenai pengaruh Mahathir di Kubang Pasu, calon BN, Hasmuni Hassan, sebaliknya menganggap langkah bapa pemodenan Malaysia itu meninggalkan Umno dan memusuhi BN membantutkan kemajuan penduduk terbabit.
Secara peribadi penolong setiausaha Pemuda Umno itu berkata, dia menghormati Mahathir sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada negara sepanjang tempoh keberadaannya dalam Umno dan BN.
"Namun sejak meninggalkan Umno-BN dan akhirnya memusuhi kami serta tergamak bersekongkol dengan musuh seperti PKR dan DAP pada PRU ke-14, Mahathir membantutkan trajektori kemajuan dan pembinaan kehidupan yang baik buat rakyat Kubang Pasu.
"Justeru, niat saya menawarkan diri menjadi wakil rakyat Kubang Pasu di Dewan Rakyat kelak adalah untuk memastikan apa yang diidamkan mereka di sini dikembalikan dan diteruskan.
"Saya yakin jentera BN Kubang Pasu akan all out kali ini. Mereka bersemangat memastikan BN kembali menang di Kubang Pasu dan menubuh kerajaan persekutuan," katanya.
Mengulas mengenai Amiruddin sebagai calon penyandang, Hasmuni berkata dia menghormati bekas exco kerajaan Kedah itu namun dia sukar memberi sentuhan berkezan kerana tidak lagi berada dalam kerajaan.
"Sukar untuk dia (Amiruddin) membantu rakyat di Kubang Pasu.
"Saya rasa pada pilihan raya kali ini, trend semasa dah berubah. Tun Dr Mahathir dan Amiruddin tidak lagi mempunyai gabungan besar bersama mereka bagi menghadapi PRU ke-15.
"Sebagai wakil rakyat yang dipilih pada PRU lalu, sebagai orang lama dalam arena politik, saya menghormati Amiruddin, tetapi dia tidak lagi dalam kerajaan sekarang," katanya.
Sebelum PH menjadi kerajaan, kata Hasmuni, kerajaan BN meletakkan Kubang Pasu sebagai 'enjin' kemajuan ekonomi Utara dengan projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) di Bukit Kayu Hitam yang diwartakan.
Namun sepanjang 22 bulan pemerintahan PH dan 17 bulan kerajaan PN, tambah Hasmuni, semua itu tidak lagi berlangsung.
"Seolah-olah jarum jam masa yang terhenti," ujarnya.
Mengenai pengaruh Mahathir di Kubang Pasu, Amiruddin berpendapat ia akan terus kekal dan dikenang.
Namun dia juga tidak menafikan kemungkinan pengaruh dan aura Mahathir sudah terpecah dengan segmen-segmen tertentu. Pada masa sama Amiruddin yakin ada juga pihak yang menggunakan nama Mahathir sebagai helah untuk meraih undi khusus disasarkan kepada golongan yang tidak terdedah kepada perkembangan politik semasa.
"Mereka (parti lawan Pejuang) menyatakan Dr Mahathir berada bersama parti mereka. Itu hanya satu trick untuk mendapatkan undi," katanya.
Selain itu, kata Amiruddin, generasi muda dipercayai kurang tahu pelbagai idea dibawa Mahathir sebelum ini, seperti Wawasan 2020.
"Kalau dalam kalangan generasi lama, ya. Dr Mahathir masih berpengaruh walaupun mungkin segmen itu dah berpecah, tetapi sentimennya masih ada,
"Kalau sentimen mereka bersama Dr Mahathir dan dia tak mengenali saya, mereka akan tanya: Dr Mahathir duduk (bersama) dengan siapa?" katanya yang memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 13,009 undi.
Tambah Amiruddin yang juga setiausaha agung Pejuang, dia juga mendapat isyarat yang agak kuat bahawa pengundi tidak lagi melihat calon dari parti mana sebaliknya lebih melihat kepada kemampuan individu.
"Kalau itu yang dimaksudkan (diperkirakan) dan nak diterjemahkan di kotak undi nanti, saya rasa ada kelebihan.
"Saya ingat mana-mana calon yang jadi penyandang merupakan kelebihan, dan ia turut bergantung kepada khidmat kita selepas pernah diberi mandat," katanya.
Sebagai rekod selain Amiruddin, Aizuddin dan Hasmuni seorang lagi calon yang bertanding di Kubang Pasu ialah Ku Abd Rahman Ku Ismail dari PN. Cubaan Malaysiakini mendapatkan pandangannya mengenai Kubang Pasu tidak berjaya sehingga tulisan ini disiarkan.