Polis menyiasat perbuatan membakar poster Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Gelung Ayer di Gunung Keriang, di Kedah yang dipercayai angkara khianat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan pihak berkuasa sedang menyiasat perbuatan membakar poster perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan calon BN Dr Mashitah Ibrahim.
Polis menerima aduan daripada petugas BN yang mengesan perbuatan itu di Kampung Gelung Ayer di Gunung Keriang, di Kedah pada petang semalam.
“Pengadu mengesyaki ada unsur-unsur khianat ke atas papan poster pemimpin negara dengan kesan terbakar.
“Selain itu poster calon BN Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim turut mempunyai kesan sama,” katanya, lapor Utusan Online.
Ahmad Shukri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.