Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat T'ganu disaran solat istikharah, nilai kepimpinan PAS

Berbaki dua hari lagi tempoh kempen PRU15, pemimpin PKR Azan Ismail menggesa rakyat Terengganu menilai semula pentadbiran PAS di negeri itu.

Justeru itu, katanya orang ramai digalakkan melakukan solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk Ilahi mengenai pilihan pada hari mengundi nanti.

"Sepatutnya, negeri Terengganu yang dikurniakan khazanah yang cukup besar melalui penghasilan pertoleum, ada royalti besar, kita nilai sama ada royalti ini digunakan sebetul-betulnya untuk pembangunan negeri, mengeluarkan rakyat Terengganu daripada kemiskinan, kesusahan hidup, betul ke ia berlaku dalam tempoh lima tahun ini? Betul atau tidak?

"Jadi, penilaian ini logik atau tidak kita bagi kepada bentuk kerajaan yang ditabdir sebegini untuk meneruskan lagi lima tahun.

"Inilah masa kita membuat penilaian yang patut kita ambil peluang, buat solat istikharah minta diberikan petunjuk, diberikan kebenaran apa yang sedang berlaku," tambahnya.

Azan yang juga bekas pengerusi PKR Terengganu berkata dia tidak mahu negeri Terengganu dilemparkan tohmahan dan "julukan negeri yang ekstrem."

"Masih ada ruang lagi untuk hampir 900,000 rakyat di Terengganu untuk mempertimbangkan dan menilai semula (kerajaan pimpinan PAS).

"Kerana kita tidak mahu rakyat di negeri Terengganu ini ditadbir dan sentiasa dimomokkan, diasuh serta disuburkan dengan budaya ekstrem, budaya mengancam, mengugut termasuk ugutan jenayah yang akhirnya berlaku pergaduhan," katanya kepada Malaysiakini.

Azan mengulas kenyataan kontroversi kepimpinan dan individu yang dikaitkan dengan PAS dalam siri kempen pilihan rayanya.

Ini susulan isu video ceramah Ketua Pemuda PAS Sik Mohd Shaiful Mhd Nasir (gambar, atas) yang meminta pengundi di kawasan itu supaya memangkah calon mereka dan sesiapa yang memilih calon BN atau PH "akan masuk ke neraka."

Mohd Shaiful kemudian membuat permohonan untuk "berehat" daripada semua jawatan parti yang disandangnya.

Belum reda dengan kenyataan Mohd Shaiful itu tular pula ceramah selebriti Zul Huzaimy dengan ungkapan kontroversi "menyembelih" orang kafir.

Kenyataan pelakon berkenaan tular melalui rakaman video dalam satu program ceramah yang dikaitkan dengan PAS di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov lalu.

Pelakon Wayang itu kemudian tampil memohon maaf malah mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting pihak tertentu.

Zul juga mendakwa kenyataan ekstrem tersebut hanya ditujukan kepada "segelintir" orang bukan Islam yang didakwanya tidak membenarkan azan berkumandang.

Dalam pada itu, Azan (gambar, bawah) membangkitkan dirinya juga pernah menjadi mangsa fitnah pada pilihan raya umum lalu apabila didakwa terlibat dalam pengedaran pil kuda.

Katanya, PAS sebagai parti yang berlandaskan Islam patut menunjukkan tauladan yang lebih baik dan bukannya membuat kenyataan sebegitu.

"Kita pernah melalui fasa kafir mengkafir, solat dua imam," katanya.

Pada dekad 1980-an pertembungan politik PAS-Umno menyaksikan beberapa insiden yang dianggap ekstrem, khususnya ekoran 'fatwa' Abdul Hadi yang merujuk kepada ucapannya di Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.

Ia berlarutan dan sangat ketara di Terengganu dengan pelbagai insiden termasuk memulaukan majlis kenduri orang yang berlainan parti, sembahyang dua imam, malah membabitkan perceraian pasangan suami isteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS