Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Ahmad Faizal Azumu akhirnya tampil menjelaskan dakwaan yang mengatakan dia membeli dua kapal layar mewah.
Calon PN bagi kerusi Tambun itu bagaimanapun berkata dia membeli dua buah “bot”, dan bukannya kapal layar mewah.
“Bukan yacth (kapal layar mewah) ya, (tapi) kapal layar (yang) dijual dengan harga yang begitu murah,” jelasnya dalam klip video yang disertai tanda pagar #pejanotjholow dan #botbukanyot.
Menurutnya, kedua-dua “bot” itu dibeli dengan harga RM50,000 dan RM80,000 daripada seorang pelayar dari Eropah yang terkandas di negara ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan Covid-19 dahulu.
“Pada waktu Covid-19 ada seorang pelayar ni, dia datang daripada Eropah berlayar menggunakan bot tersebut dan sampai ke Langkawi.
“Apabila kita mengadakan PKP dan sebagainya, beliau mendapat tekanan hiduplah... Agaknya kerana bersendirian di sini, maka (dia) membuat keputusan untuk meninggalkan negara ni sebaik kita membuka sempadan,” katanya.
Oleh itu, katanya, pelayar itu berhasrat mencari pembeli botnya selepas membuat keputusan meninggalkan Malaysia.
Ahmad Faizal berkata dia kemudian mengubah suai bot itu dan menggunakannya untuk aktiviti pelancongan bersama rakannya.
“Jadi saya fikir tak ada lah salahnya saya beli bot-bot ini yang telah saya ubah suai dan saya minta pula sahabat saya ini yang menjalankan perniagaan bot ini untuk pelancong-pelancong di sana dapatlah saya dapat buat perniagaan sikit.
“Tapi yang penting juga dapat untuk anak-anak Melayu di Langkawi dapat bekerja di bot saya ni sebagai kapten dan juga sebagai kru,” jelasnya.
Ahad lalu, seorang pengguna Twitter mendakwa Ahmad Faizal, yang juga dikenali sebagai Peja oleh penduduk tempatan, membeli dua kapal layar.
Nur Suhaila memuat naik dokumen pembelian, salinan kad pengenalan Faizal dan surat kepada ketua pengarah Jabatan Laut Langkawi bertarikh 24 September 2021.
Surat itu, berbunyi, “Saya, Ahmad Faizal Azumu, pemilik Temptation, dengan ini memberi kuasa kepada Ong Liang Poh dari SBM Shipping Freight (M) Sdn Bhd untuk bertindak bagi pihak saya bagi permohonan, termasuk menandatangani dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan kapal di bawah Pendaftaran Kapal Layar Antarabangsa Langkawi.”