Paling Popular
Terkini

PRU15 | Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di seluruh negara melibatkan anggota keselamatan dan pasangan hari ini berjalan lancar dan selamat, biarpun negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19.

Pengurusan pengundian yang bersistematik di 578 pusat mengundi awal termasuk kehadiran pegawai kesihatan, pematuhan ketat bagi pengundi positif COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka dan amalan penjarakan fizikal membantu dalam mengurangkan risiko penularan wabak tersebut.

Anggota pasukan keselamatan merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka dilihat berkumpul sejak awal pagi di pusat mengundi sebelum pengundian bermula pada 7 pagi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Datuk Seri Azri Ahmad antara yang mengundi di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.

Sementara Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany serta isteri masing-masing mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn dalam Parlimen Setiawangsa.

Di PUTRAJAYA, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata 1,386 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera mengundi di dua pusat pengundian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, dengan pengundi positif COVID-19 turut dibenarkan menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Di SELANGOR, proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membabitkan 1,818 anggota dan pegawai bagi Parlimen Shah Alam termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Baharudin Mat Taib, manakala Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata 796 anggota dan pegawai IPD Klang Selatan menunaikan tanggungjawab mereka.

Di MELAKA, seramai 10,097 melibatkan 7,911 anggota tentera dan 2,186 pasangan mengundi awal, manakala 2,504 pegawai dan anggota polis menunaikan tanggungjawab mereka di 24 pusat mengundi membabitkan 932 pengundi di IPK Melaka, IPD Melaka Tengah (722 pengundi), IPD Alor Gajah (623 pengundi) dan IPD Jasin (227 pengundi).

Di NEGERI SEMBILAN, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia Jeneral Datuk Mohd Saifulisham Baharun berkata seramai 15,048 anggota tentera dan pasangan masing-masing di seluruh negeri terlibat dalam proses pengundian awal hari ini yang membabitkan tujuh pusat mengundi.

Di JOHOR, tinjauan Bernama di beberapa lokasi antaranya Markas Batalion 6, PGA, Bakri; Markas 7 Bridged Kem Mahkota, Kluang; Batalion 10, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Majidee, Batu Pahat; menyaksikan anggota polis dan tentera serta pasangan datang seawal 7 pagi untuk menunaikan tanggungjawab termasuk Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat yang mengundi di IPK Johor.

Di PERLIS, Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata seramai 1,578 pegawai dan anggota PDRM menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal di sembilan pusat mengundi iaitu empat di kawasan Padang Besar, Kangar (3) dan Arau (2), sementara 1,840 pegawai dan anggota ATM serta pasangan mengundi di lima pusat mengundi iaitu di Parlimen Padang Besar dan Parlimen Arau.

Di PERAK, seramai 31,291 orang pengundi awal iaitu 12,215 warga PDRM dan 19,076 anggota tentera terlibat untuk mengundi di 72 pusat mengundi antaranya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM dan Sekolah SK Pangkalan TLDM dan SK Pangkalan TLDM 2.

Di KEDAH, proses pengundian awal melibatkan 14,674 pengundi dengan 6,041 adalah warga PDRM dan pasangan manakala 8,633 pengundi adalah anggota dan pegawai tentera serta pasangan.

Panglima 6 Briged Infantri Brigedier Jeneral Datuk Mohd Akib Yusof berkata 10 pusat mengundi dibuka untuk proses pengundian awal melibatkan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM, sementara tinjauan Bernama di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas mendapati hujan renyai tidak menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Di PULAU PINANG seramai 2,485 anggota TUDM dan pasangan mengundi awal di Dewan Seri Bayu, Pengkalan TUDM, Butterworth dengan beberapa calon turut hadir meninjau suasana proses pengundian iaitu calon BN-UMNO bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

Di PAHANG, seramai 21,164 anggota polis dan tentera negeri ini terlibat dalam pengundian awal di 50 pusat pengundian dengan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf antara yang terawal mengundi di Dewan Badminton Kompleks PDRM Alor Akar di Kuantan.

Di Bera, seramai 3,521 anggota tentera dan pasangan mengundi di Dewan Serbaguna Rejimen ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera, manakala proses pengundian awal di IPD Bera melibatkan 279 anggota polis dan pasangan.

Di TERENGGANU, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md. Isa berkata sembilan anggota polis disahkan positif COVID-19 dan mereka dinasihatkan supaya hadir mengundi di saat akhir bagi mengelakkan kesesakan serta pertembungan dengan anggota yang lain.

Sementara itu, di Kuala Nerus tinjauan proses undi awal di Kem Seri Pantai 18 RAMD Seberang Takir, mendapati anggota menunggu seawal 7.30 pagi dengan ditemani pasangan dan anak kecil sebelum proses pengundian bermula 8 pagi yang dikawal ketat oleh anggota tentera dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Di KELANTAN, Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab berkata seramai 11,061 pengundi awal layak menjalankan tanggungjawab mereka di 33 pusat mengundi, dengan pengundi dikesan positif COVID-19 dikehendaki hadir dua jam terakhir sebelum pusat pengundian tutup.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras SPR Parlimen Pengkalan Chepa Mejar Arif Mat Jusoh berkata proses pengundian awal di Dewan Tan Sri Abdul Hamid Bidin, Markas Briged Kelapan Infrantri Malaysia, di sini melibatkan seramai 1,457 anggota tentera dan pasangan.

Di LABUAN, Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata 1,444 anggota polis, tentera dan pasangan mengundi awal hari ini, yang berlangsung di IPD Labuan dan SK Membedai di kem pangkalan tentera udara di sini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS