Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan dipatuk ular dua kali' - Ismail seru peneroka Felda tak undi PH

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mengingatkan peneroka Felda supaya tidak mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum (PRU) Sabtu ini kerana menurutnya gabungan itu tidak melakukan apa-apa untuk menjaga kesejahteraan peneroka sepanjang tempoh singkat sebagai kerajaan.

Sebaliknya, Ismail Sabri menyeru mereka mengundi BN yang menurutnya terbukti sentiasa menjaga kebajikan peneroka.

"Bagi saya kena (patuk ular) sekali sudahlah, jangan sudah dipatuk ular kemudian tak sedar lagi masih ada ular di lubang yang sama lalu menghulurkan kaki kepadanya.

"Kita tahu sudah pernah kena tipu, (jadi) kenapa kali kedua pun hendak kena tipu lagi?

"Selama ini yang menjaga kepentingan peneroka Felda adalah kerajaan diterajui BN, lalu selepas itu apabila 22 bulan PH yang tidak ada pengalaman, memerintah akhirnya huru-hara seluruh Malaysia dan apa yang peneroka Felda dapat daripada PH?" katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan peneroka Felda Lasah di dewan serbaguna Semai Bakti di Sungai Siput, Perak hari ini.

Ismail Sabri mengingatkan peneroka bahawa Felda adalah "anak emas" kerajaan BN sejak ia ditubuhkan oleh perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.

Justeru, Ismail Sabri yang bertanding kerusi parlimen Bera berkata dia yakin rakyat akan memilih BN kerana gabungan itu akan terus memberi kemudahan kepada generasi kedua dan ketiga peneroka Felda.

“Felda telah menjadi simpanan tetap BN dan saya harap anda akan terus setia kepada kami.

"Jadi kita jangan cari azab, sebaliknya dalam hidup ini carilah yang senang, iaitu kerajaan BN dapat beri kesenangan.

"Kesenangan bukan sahaja untuk kita, tetapi turut meliputi kepada generasi kedua dan ketiga Felda yang akan kerajaan jaga," katanya.

Naib presiden Umno itu juga berkata hikmah kekalahan BN pada PRU 2018 adalah supaya rakyat membuat perbandingan antara BN dengan pentadbiran lain.

"Sebelum itu, BN perintah seorang, sebelum Merdeka sampai PRU ke-14. Tidak boleh buat perbandingan bila kata BN tak elok," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri turut memberi jaminan kepada 70 peneroka Felda di Lasah bahawa hutang RM1.8 juta mereka dilupuskan.

“Saya difahamkan kira-kira 70 peneroka di sini telah mengalami kerosakan di ladang mereka akibat serangan gajah dan mereka berhutang dengan Felda.

"Saya ingin memaklumkan kepada anda, bukan mengumumkan kerana saya tidak boleh membuat apa-apa pengumuman, bahawa hutang 70 peneroka ini kepada Felda telah dilupuskan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS