Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Ramai Melayu akan tolak BN kerana Zahid

Hamzah Zainudin mendakwa kedudukan Ahmad Zahid Hamidi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini, sama seperti apa yang dialami oleh BN pada pilihan raya sebelum ini apabila gabungan itu terpalit dengan skandal 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak.

Menurut Setiausaha Agung Perikatan Nasional itu, ramai orang Melayu membuat keputusan untuk menolak BN kerana presiden Umno tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, menteri dalam negeri itu berkata pengundi bimbang tentang siapa yang akan menduduki jawatan tertinggi untuk memimpin negara untuk lima tahun akan datang dan tidak akan menyokong seseorang yang akan "mencemarkan" imej Malaysia.

“Sekarang ini ramai Melayu fikirkan bahawa kalau dia undi BN - apakah undi beri satu kuasa kepada Zahid Hamidi untuk menentukan masa depan negara?

“Rakyat keseluruhan negara, khususnya orang Melayu kata, ‘kami tak mahu ini. Majoriti rakyat tidak mahu perkara ini berlaku.

“Tetapi ahli Umno tentulah, presiden suruh buat apa pun buat. Tetapi kita bercakap tentang Melayu keseluruhan dan atas pagar, saya fikir mereka sudah menyedari bahawa yang penting hari ini bukan mengenai parti, tetapi siapa yang kita mahu, nilai moralnya, yang penting, sikap kepimpinan yang ada,” katanya.

Pada PRU kali ini, kedua-dua PN dan PH memainkan naratif bahawa Zahid sedang mengintai jawatan perdana walaupun BN menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menterinya.

Seteru BN juga mendakwa bahawa undi untuk gabungan itu diterjemahkan kepada undi untuk Zahid menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Hamzah yang dijangka berjaya mempertahankan kerusi Larut di Perak yakin gabungannya mampu menawan Perlis dan menakluki bahagian utara Semenanjung serta menjadikannya kubu kuat PN.

“Kita sudah dapat Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dalam pilihan raya ini, kita akan ambil alih Perlis. Saya cukup yakin,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui menawan kubu DAP di Pulau Pinang adalah satu tugas yang sukar bagi gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan dan SAPP.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS