Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kibaran bendera Muda di jeti 'isyarat' dari nelayan Muar

Di sebuah perkampungan di tepi pantai Parit Jawa yang terletak kira-kira 30 minit pemanduan ke selatan bandar Muar, sebuah 'armada' kelihatan dihiasi bendera hitam berbaris di jeti tempatan.

Ia sudah tentu bukan gerombolan lanun yang menerbangkan bendera Jolly Roger, sebaliknya kapal nelayan sederhana milik penyokong Muda di pantai barat Johor.

Bagi Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ia adalah suasana yang sangat berbeza berbanding apa yang berlaku semasa PRU ke-14 pada 2018.

Ketika itu, katanya, kebanyakan penduduk di perkampungan nelayan terbesar di kawasan itu mengangkat warna BN.

Antara yang terlibat ialah seorang lelaki berusia 44 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Din.

Pernah menjadi ahli jawatankuasa Umno di Parit Kedondong, Muar, Din memberitahu Malaysiakini dia adalah pengundi setia parti berkenaan walaupun ketika itu ada pergolakan.

Bagaimanapun, kata Din, dia kini menghabiskan masanya sebagai petugas Muda di samping aktiviti harian memancing.

Dia juga menyatakan rasa tidak sabar untuk mengundi Syed Saddiq buat kali pertama ketika bekas menteri belia dan sukan itu cuba mempertahankan kerusi Muar Sabtu ini.

Sokong tapi tak dedah

Menjelaskan perubahan sikapnya, nelayan itu berkata dia menarik balik sokongan daripada BN kerana bosan dengan perbalahan dalaman, namun enggan mendedahkan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya.

“Saya takkan kata BN tidak bagus, kerana ia memang bagus. BN memberi kami banyak pembangunan sebelum ini. Tapi mungkin Umno sudah terlalu selesa dan sekarang mereka tidak lagi menjaga rakyat,” katanya.

Din mendakwa ramai yang lain juga telah mengalihkan sokongan masing-masing daripada Umno kepada Muda.

“Kamu pernah ke jeti Parit Jawa? Bendera apa yang paling kamu nampak?

"Kadang-kadang, ada antara mereka memang penyokong Muda, cuma mereka tak mahu menunjukkannya atau bercakap mengenainya," tambah Din.

Ditanya mengapa ia berlaku sedemikian, Din menjawab: “Kami (orang Johor) tinggal di bawah siapa? Kita kena ingat itu.”

Tidak jelas sama ada kenyataan tersebut merujuk kepada kerajaan pusat dan negeri yang diketuai BN, atau istana Johor.

Bagi masyarakat berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar Muar, bantuan kerajaan adalah keperluan penting untuk menampung kehidupan masing-masing.

Pengagihan bantuan tersebut sering dianggap dikawal oleh 'penaung' dalam kalangan pemimpin politik tempatan.

Syed Saddiq pula sering berdepan isu bertentangan dengan Tunku Mahkita Johor. Justeru menyatakan sokongan secara terbuka kepada Syed Saddiq mungkin bukan pilihan yang baik untuk penduduk setempat.

Nak pangkah yang biru

Seorang nelayan, yang hanya mahu dikenali sebagai Wan, 41, pula kelihatan begitu senang dengan Syed Saddiq dan berkata dia hampir pasti penyandang kerusi parlimen Muar itu akan berjaya untuk kali kedua.

“Kerjanya okey, dia banyak membantu masyarakat dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, juga kepada murid sekolah.

"Calon-calon lain juga nampak okay, tapi (calon BN) Helmy (Abd Latif) adalah calon baru yang saya tidak begitu kenal.

"Jadi tidak kena untuk saya memberikan pandangan mengenai dia," katanya.

Pun begitu tidak semua nelayan di situ cenderung kepada Muda.

Sesetengahnya menaikkan bendera BN pada bot masing-masing. Pada masa sama hampir tidak ada bendera Perikatan Nasional (PN) kelihatan semasa kunjungan Malaysiakini di jeti berkenaan.

Kebanyakan mereka yang mengharapkan kemenangan BN nampaknya adalah daripada generasi yang lebih tua dan menyatakan sokongan kepada gabungan itu walaupun tidak mengenali Helmy.

Helmy Abd Latif

“Saya tidak kenal calon (BN), tapi yang paling penting, pada hari mengundi saya pangkah 'biru'.

"Umno tak buat apa-apa perubahan, (tapi) dengan yang lain, saya tidak nampak apa kebolehan mereka.

"Mereka hanya berjanji tetapi tidak pernah menunaikannya,” kata Maat Mohd Said, 86 tahun ketika ditemui Malaysiakini di sebuah warung di kampung itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS