Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imej PAS boleh terjejas dek kata-kata pemimpin, penyokong

Kenyataan kontroversi dibuat pimpinan PAS dan pihak yang berkaitan dengan parti itu - termasuk pelakon, Zul Huzaimy - memang memberi kesan negatif kepada mereka menjelang hari pengundian tidak lama lagi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim, malah menegaskan apa yang berlaku itu juga adalah bertentangan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diterapkan parti terbabit.

Pun begitu calon PN bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu itu percaya pemimpin atasan PAS sudah memberikan teguran sewajarnya kepada mereka.

Kata Ahmad Amzad, teguran dan penjelasan juga telah diberikan kepada orang awam untuk menegaskan apa yang disebut pihak terbabit bukan pendirian PAS.

"(Namun) sudah tentu ia sedikit sebanyak menjejaskan (imej PAS), saya tak boleh menafikan, terutamanya pada era media sosial hari ini," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, malam tadi.

Ahmad Amzad berkata demikian ketika diminta berkenaan kenyataan-kenyataan kontroversi yang dibuat beberapa individu yang dikaitkan dengan PAS.

Terdahulu tular rakaman video ceramah Ketua Pemuda PAS Sik Mohd Shaiful Mhd Nasir yang meminta pengundi di kawasan terbabit hanya memangkah calon mereka.

Dia juga menegaskan bahawa sesiapa yang memangkah calon BN atau PH akan masuk ke neraka apabila meninggal dunia.

PAS cuba sebaik mungkin

Dia yang kemudian segera membuat permohonan untuk "berehat" daripada semua jawatan parti yang disandangnya.

Namun, belum reda dengan kenyataan Mohd Shaiful itu tular pula 'ceramah Zul Huzaimy yang menyatakan dia mahu "menyembelih" orang bukan Islam.

Kenyataan pelakon berkenaan tular melalui rakaman video dalam satu program ceramah yang dikaitkan dengan PAS di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov lalu.

Pelakon Wayang itu tampil memohon maaf malah semalam dan mendakwa rakaman video berkenaan telah disunting pihak tertentu.

Dia juga mendakwa kenyataan ekstrem tersebut hanya ditujukan kepada "segelintir" orang bukan Islam yang didakwanya tidak membenarkan azan berkumandang.

Zul Huzaimy

Ahmad Amzad yang juga penyandang kerusi parlimen Kuala Terengganu berkata PAS akan cuba memberi penjelasan sewajarnya dalam tempoh empat hari ini.

"PAS cuba sebaik mungkin dalam tempoh berbaki ini supaya penjelasan yang sewajarnya sampai kepada rakyat bahawa ia (kenyataan kontroversi berkenaan ) tidak mewakili pendirian PAS.

"PAS terus berpendirian dalam suasana Malaysia yang bermasyarakat majmuk, kita perlu saling menghormati dan masyarakat bukan Islam perlu berasa selamat di bawah kepimpinan Islam.

"Konsep kepimpinan Islam seharusnya memberi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan kepada semua," katanya.

Ahmad Amzad turut mengingatkan pimpinan dan juga penyokong PAS supaya menghayati konsep politik matang dan sejahtera yang dibawa.

Sementara itu, Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut memberi peringatan khusus kepada penyokong dan ahli PAS supaya tidak mencipta sebarang provokasi ketika berkempen.

Katanya, ini kerana ia tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata tindakan menconteng serta merosakkan bahan kempen parti lawan hanya akan merenggangkan persaudaraan sesama Islam.

"Saya kenal Datuk Zuber ini, dia ini adalah kawan saya. Jadi, saya tidak mahu, selepas pertandingan dalam PRU (apa yang berlaku) ini akan menjejaskan ukhwah kita sesama Islam," katanya merujuk kepada calon BN bagi kerusi Kuala Terengganu, Zubir Embong.

Kata Ahmad Amzad, walaupun dalam PRU mereka bertentangan selama ini mereka sama-sama mengusahakan Muafakat Nasional.

"Kita hendaklah sentiasa membiarkan ruang terbuka supaya selepas ini usaha penyatuan ummah dapat diusahakan," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS