PRU15 | Tidak cukup dengan isu kecurian data dan aktiviti ‘spam’ pemasaran sedia ada, pengguna telefon mudah alih di Malaysia kini berhadapan pula dengan bermacam jenis gangguan semasa tempoh pilihan raya umum.
Sejak tempoh berkempen yang bermula pada 5 November lalu, ramai pengundi menerima panggilan atau mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada parti-parti politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perlindungan data peribadi.
Di media sosial, pengundi berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp diterima yang mengajak mereka keluar mengundi.
Mesej tersebut mengandungi butiran termasuk pusat mengundi dan nombor kad pengenalan mereka.
Sebahagian butiran ini boleh diakses oleh parti politik melalui daftar pemilih, namun tidak jelas bagaimana petugas kempen boleh mengakses nombor telefon pengundi.
Sehingga kini, mereka yang mengadu berkata menerima mesej daripada BN dan PN.
Malaysiakini telah menghubungi pimpinan BN dan PN untuk mendapat maklum balas mereka mengenai perkara ini.
Pengundi takut, marah
Amalan menghantar risalah yang mengandungi nama pengundi dan tempat mengundi mereka telah lama berlaku dalam pilihan raya umum sejak puluhan tahun lalu.
Cawangan-cawangan parti politik berbuat demikian sebagai satu bentuk khidmat kepada pengundi, justeru pengundi tidak perlu mengambil inisiatif sendiri untuk menyemak di mana mereka mengundi.
Risalah berkenaan selalunya dimasukkan ke peti surat, dengan logo parti politik dilampirkan.
Amalan untuk membantu pengundi ini digalakkan ketika zaman sebelum kewujudan internet, namun maklumat sedemikian kini mudah diperoleh oleh pengundi dengan menyemak di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Seorang pengguna media sosial yang menggunakan akaun Twitter @anamarysha memberitahu Malaysiakini dia "takut" menerima "peringatan untuk mengundi" sedemikian.
"Saya sangat nak tahu (bagaimana mereka dapat akses) dan bimbang macam mana mereka boleh dapat nombor telefon bimbit peribadi kita yang tiada dalam daftar pemilih," katanya.
Pada 7 November lalu, dia menyiarkan tangkapan skrin mesej yang diterimanya, yang dikatakan daripada seorang petugas kempen BN yang memberinya "peringatan pertama" untuk keluar mengundi.
"Kami hendak memberitahu di mana tempat mengundi anda," kata petugas kempen itu apabila dia bertanya mengapa mereka menghantar gambar butiran mengundinya.
Tertera pada gambar risalah yang dihantar petugas kempen itu melalui WhatsApp adalah alamat pengundi di Johor dan nombor kad pengenalan.
Mesej macam daripada SPR
Malaysiakini juga melihat mesej yang sama diterima oleh pengundi dari parti lain, termasuk yang dihantar kepada seorang pengundi Terengganu daripada seorang petugas kempen PAS.
"Saya sangat marah tentang perkara ini. Macam mana mereka boleh dapat data saya seperti tu dengan mudah?" kata seorang pengundi ketika berkongsi tangkapan skrin mesej yang diterimanya kepada Malaysiakini.
Seorang pengundi di Kedah memberitahu Malaysiakini dia menerima mesej dengan tajuk "InfoPRU", memaklumkan bahawa dia seorang pengundi dan memintanya menyemak butiran di laman web yang dipautkan.
Tetapi laman web itu bukan sahaja menunjukkan butiran peribadinya dan maklumat pengundi, ia juga menyuruhnya mengundi calon PN.
“Saya betul-betul ingatkan (mesej teks) itu adalah peringatan Suruhanjaya Pilihan Raya. Tak Tahu pula ia adalah peringatan daripada PN untuk mengundi mereka.
"Ini sangat tak betul. Mereka guna data peribadi kita untuk dapatkan maklumat pilihan raya, dan kemudian hantar ke nombor telefon kita," kata pengundi itu.
Semakan Malaysiakini mendapati laman web InfoPRU.com dialihkan (redirect) ke laman web PN. SPR sebelum ini menggunakan tag "Info PRU" untuk menyediakan maklumat mengenai PRU14.
Pengundi-pengundi lain yang menerima risalah secara fizikal, melahirkan rasa tidak puas hati atas amalan yang sudah berpuluh tahun itu.
Ada yang berkata risalah-risalah itu tidak diletakkan di dalam peti surat dengan betul dan bertaburan di tiup angin, yang mendedahkan nombor kad pengenalan mereka kepada orang yang tidak dikenali.
Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 meliputi pemprosesan data peribadi berkaitan transaksi komersial, tetapi ia tidak meliputi data yang dikumpul oleh parti politik untuk tujuan berkempen.
Ia juga tidak meliputi pengumpulan maklumat peribadi oleh kerajaan.
Petugas parti mengakses data kerajaan
Sebelum ini dilaporkan BN mempunyai akses kepada data peribadi yang dikumpul oleh kerajaan, dan telah menggunakannya pada pilihan raya umum 2018.
Ini termasuk data yang diberikan oleh penerima bantuan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), data dari pejabat pendidikan daerah dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).
"Seorang pemimpin Umno (berkata) parti itu menggunakan data peribadi yang diperoleh daripada agensi kerajaan untuk meyakinkan individu supaya memilih semula BN dengan mengingatkan mereka berapa banyak bantuan kerajaan yang mereka terima di bawah parti yang memerintah ketika itu," menurut laporan penyelidikan oleh organisasi Jerman Tactical Tech.
Sejak PDPA diluluskan pada tahun 2010, terdapat banyak pelanggaran seirus data yang melibatkan pangkalan data komersial dan kerajaan.
Pada 2017, butiran peribadi seramai 46.3 juta pengguna telefon mudah alih, termasuk nombor kad pengenalan mereka, telah dibocorkan daripada pangkalan data syarikat telekomunikasi.
Pada bulan April, berjuta-juta rekod daripada pangkalan data MyIdentity Putrajaya telah dijual di forum penggodam dengan harga AS$10,000.
Sebahagian daripada data itu adaalh 800,000 gambar pengundi dan MyKad mereka daripada laman web SPR, Daftar MySPR.
SPR berkata suruhanjaya itu telah bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nasca) untuk menyiasat perkara itu.