Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi BN, PH masuk neraka: Rafizi akan lapor polis
Diterbitkan:  Nov 14, 2022 4:53 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia akan membuat laporan polis terhadap PAS dan ketua pemuda parti itu di Sik Mohd Shahiful Mohd Nasir berhubung kenyataan menghasut semasa kempen PRU15.

Pada masa sama, dia berterima kasih kepada polis atas tindakan proaktif mereka memulakan siasatan terhadap Shahiful, yang berkata pengundi yang memilih Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) akan "masuk ke neraka".

"Pun begitu, saya akan meneruskan tindakan membuat laporan polis terhadap Shahiful Nasir dan PAS atas kenyataan itu dan kenyataan-kenyataan lain yang sering diucapkan dalam program dan ceramah-ceramah mereka yang bertujuan (sama ada) menimbulkan kebencian terhadap kepelbagaian kaum di negara ini, kaum-kaum lain, agama-agama lain ataupun yang menakutkan penganut Islam untuk mengundi kaum lain dengan ugutan agama," kata Rafizi.

Pendekatan berbahaya

Dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini, dia berkata tema dan kandungan kempen PAS selama ini sering berkisar kepada mesej-mesej berikut:

"Bahawa agama Islam di negara ini sedang diancam kecualilah pengundi Melayu memilih mereka dalam pilihanraya kerana parti-parti lain seperti PH dan BN tidak cukup pegangan Islam seperti mereka di dalam PAS.

"Bahawa jika parti-parti lain seperti PH menang dalam pilihan raya, amalan umat Islam seperti azan akan dihapuskan.

"Bahawa pengundi Islam yang mengundi parti-parti lain seperti PH dan BN akan masuk neraka," katanya.

Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Mohd Nasir.

Menurut Rafizi, pendekatan kempen yang bermain sentimen perkauman dan keagamaan berbahaya kerana mempertaruhkan keamanan pelbagai bangsa yang menjadi asas negara ini.

"Sementara kempen yang menunggang Islam seperti ini memudahkan kerja PAS dan Perikatan Nasional kerana mereka tidak perlu bersusah payah meyakinkan rakyat mengenai kebolehan mereka mentadbir, kempen sebegini memberi ruang kepada pandangan pelampau menjadi arus perdana," kata Rafizi.

Shahiful sejak itu memohon maaf atas kenyataan "masuk neraka" yang dibuatnya, yang tular di media sosial.

Selain itu, Rafizi berkata amat membimbangkan apabila PAS seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab, walaupun kenyataan sedemikian dibuat pihak lain di atas pentas mereka atau atas hadir sebagai tamu parti itu.

"Setiap kali kandungan kempen yang berbahaya sebegini muncul dan mengundang kemarahan orang ramai, pimpinan PAS mencuci tangan sedangkan kempen-kempen sebegini dijalankan di atas pentas mereka, atas jemputan mereka dan dari mulut aktivis atau pimpinan mereka sendiri," katanya lagi.

Dia merujuk pelakon Zul Huzaimy (gambar, atas), yang sebelum ini berkata dia menyimpan hasrat untuk "menyembelih kafir harbi" semasa majlis yang dirasmikan oleh Adun Chukai PAS, Hanafiah Mat.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pemuda PAS Dungun Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

Zul telah memohon maaf atas kenyataannya itu dan berkata bahagian ucapannya itu telah diambil di luar konteks.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjarakkan diri daripada pelakon itu, berkata tidak mengenali siapa Zul.

“Zul Huzaimy saya tak kenal. Tak boleh, dia bukan mewakili PAS. Bahaya cakap macam itu tahu. Boleh (kena) tangkap tahu,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS