Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang PAS kata kena ‘pikiaq’

Kurang lima hari lagi, kempen Pilihan Raya Umum ke15 (PRU15) akan melabuhkan tirainya, namun ini tidak menghalang PAS daripada menjaja kisah silam Anwar Ibrahim yang pernah menjadi sekutunya sebagai sudah tercemar.

Berucap pada siri ceramah Jelajah PN Best di Tambun, Perak malam tadi, Pesuruhjaya PAS Kedah Sanusi Md Nor mengingatkan pengundi bahawa Anwar telah dua kali disabitkan kesalahan dan dengan itu adalah "muflis moral".

“Dulu saya pun simpati, kesian sungguh (terhadap Anwar yang dihumban ke penjara).

“Tapi bila dua kali hang kena kes (liwat) itu... kalau mahu pikiaq sekali boleh agak-agak, percaya ini konspirasi, ini rekaan...

“Tapi bila kena dua kali saya pikiaq ish...,” Sanusi kepada kira-kira 600 orang dan disambut gelak ketawa mereka yang hadir itu.

Pada 1999, Anwar dipenjarakan atas kesalahan salah menggunakan kuasa. Tahun berikutnya dia dipenjarakan kerana meliwat. Anwar menjalani keseluruhan hukumannya atas kesalahan salah menggunakan kuasa tetapi menang ketika rayuan atas pertuduhan meliwat.

Pada 2012, Anwar dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan liwat. Bagaimanapun, rayuan berikutnya oleh pihak pendakwa menyebabkan pembebasan itu dibatalkan dan dia dipenjarakan.

Bagaimanapun, dia diberikan pengampunan penuh pada 2018 untuk semua sabitan.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menyokong kenyataan Sanusi dengan menggesa pengundi menolak pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kerana rekod jenayah lampaunya.

“Dia (anwar) ialah bekas banduan. Tambun nak bekas banduan ke? Untuk apa dia masuk (penjara)?

“Pastikan orang Perak kuburkan pengerusi PH di Tambun!” katanya.

Anwar adalah calon PH bagi kerusi Tambun. Dia akan berdepan penyandang Ahmad Faizal Azumu dari Perikatan Nasional dan dua lagi calon lain. Dia juga adalah calon perdana menteri bagi PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS