Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Anwar tak akan dapat jadi PM selagi bersama DAP

Usaha Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri tidak akan menjadi kenyataan selagi dia bekerjasama dengan DAP, menurut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Bercakap di depan kira-kira 600 hadirin dalam program Jelajah PN Best di Tambun, Perak semalam, Muhyiddin berkata Anwar tidak akan dapat mencapai matlamat itu memandangkan orang Melayu akan terus menolak DAP.

Katanya lagi, dia sudah menyatakan perkara itu kepada Anwar ketika dia memimpin kerajaan.

"Saya cakap 'sorry Anwar, saya perdana menteri (sekarang)'. Saya beritahu dia yang dia tak akan jadi perdana menteri selagi bersama DAP.

"Saya cakap (kepada Anwar) terus-terang," kata pengerusi PN itu.

DAP telah menyokong Anwar sebagai perdana menteri sejak PRU 1999.

Memandangkan asas sokongan utama DAP adalah pengundi Cina dan India, para pemimpin PN berulang-kali membangkitkan perkara itu untuk memaparkan PH sebagai sebuah gabungan yang didominasi orang bukan Melayu.

Muhyiddin pula adalah calon perdana menteri PN. Kedua-dua Muhyiddin dan Anwar berusia 75 tahun.

Bagi menunjukkan kelayakannya, Muhyiddin berkata dia menerima sokongan Anwar sejak 1998 ketika presiden PKR itu masih timbalan perdana menteri.

Ketika itu, Anwar dilihat sebagai pengganti kepada Dr Mahathir Mohamad. Dia bagaimanapun dipecat dari kerajaan dan Umno pada September 1998.

"Anwar beritahu saya "Mahathir cakap tak lama lagi dia berhenti. Saya akan jadi perdana menteri dan anda akan jadi timbalan saya'," dakwa Muhyiddin.

Membandingkan dirinya dengan Anwar, Muhyiddin yang menjadi perdana menteri selama 17 bulan - antara 2020 hingga 2021 - berkata dia memiliki kemahiran mentadbir yang diperlukan untuk menguruskan negara, sementara Anwar sudah lama berada di luar kerajaan, iaitu 23 tahun.

"Bukan nak burukkan Anwar, dia kawan saya.

"Tapi kalau sudah (lebih) 20 tahun tinggalkan kerajaan, nak kembali jadi perdana menteri saya fikir agak sukar. Kerana (dia perlu) fahamai dasar dan tindakan (yang perlu diambil).

"Kita akan berdepan risiko besar jika dalam keadaan begitu. Masalah utama rakyat tak mungkin dapat selesai secepat yang rakyat mahu, dan rakyat tak boleh tunggu lagi," katanya.

Peja bukan giant killer, tapi giant

Muhyiddin kemudian menyuarakan sokongan kepada Ahmad Faizal Azumu, timbalan presiden Bersatu yang akan berdepan dengan Anwar di kerusi Parlimen Tambun.

"Insya-Allah Peja menang, dan menang besar.

"Anda (Peja) bukan giant killer. Anda adalah giant untuk musnahkan dia (Anwar)," katanya lagi.

Sementara itu, Faizal dalam ucapannya berkata dia yakin Anwar kini ketinggalan dalam saingan di Tambun.

"Jika dia begitu yakin, saya fikir dia tidak akan buat poster sebesar itu," katanya merujuk sejumlah poster dan papan iklan kempen Anwar di situ.

"Saya fikir rakyat perlu lihat rekod dia dan apa yang telah dia lakukan selama ini - jika dia benar-benar bermoral untuk diangkat sebagai pemimpin utama negara," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS