Paling Popular
Terkini

PRU15 l Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menyelar dasar kerajaan yang terus berpihak terhadap kartel yang monopoli import beras dan mengaut keuntungan besar tanpa memikirkan nasib golongan pesawah.

Menurutnya, perkara itu akan diubah kepada dasar yang lebih berpihak kepada golongan pesawah sekiranya dia mengetuai kerajaan sebagai perdana menteri.

"Siapa import beras? Bernas ( Padiberas Nasional Berhad). Berapa untung setahun? Untung RM400 juta hingga RMM500 juta.

"Apa cadangan kita? Cadangan kita untung syarikat Bernas ini bagilah sebahagian besar kepada pesawah-pesawah padi, depa miskin, menkedarah (makan) tak cukup. Pasal apa yang bagi seorang monopoli?

"Pasal apa tak bagi kepada persatuan-persatuan peladang, persatuan pesawah padi. Tak ada. Muhyiddin buat? Tak berani, Ismail Sabri? Lagi tak berani.

"Bagi kita insya-Allah kita akan tukar kartel ini, import beras untungnya kita bagi pada kepada pesawah padi. Buat apa jadi perdana menteri kalau bacul, tak berani berdepan dengan tauke-tauke besar," katanya ketika berceramah di Kulim Bandar Baharu, Kedah, malam tadi.

Anwar yang juga calon PH bagi Parlimen Tambun itu berkata demikian sebagai mengulas contoh perubahan dasar yang akan dilakukannya sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU ke-15 nanti.

Dia turut mengkritik dasar kerajaan sebelum ini yang tidak mampu untuk benar-benar membela nasib golongan pesawah khususnya melibatkan hasil pengeluaran padi negara.

"Bersyarah hidup Melayu, Melayu apa? Melayu hangpa mentekedarah, Melayu bawah tak dapat apa.

"Ini penanam padi, dia buat satu tanaman yang susah nak dapat pulangan, tolonglah sikit. Tak payah subsidi kerajaan, hanya syarikat nak import beras dari Vietnam apa yang susah sangat.

"Tapi inilah dasar negara kita, yang muda-muda tolong fikir betul-betul. Umno, BN, PN dasarnya pertahankan kartel, tauke-tauke kaya.

"Anwar dan PH akan hentikan kartel, pulangkan keuntungan kepada pesawah-pesawah padi. Ini contoh perubahan dasar yang akan buat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS